”Terima Kasih Abah,” Mesra, Ambil Kisah Dan Suka Mengusik Buat Rakyat Sayang Muhyiddin

Kuala Lumpur: Kaca mata rakyat sering melihat seseorang yang bergelar pemimpin lebih-lebih lagi jika berstatus nombor satu pastinya sibuk dengan urusan negara, mana mungkin ‘ambil kisah’ cerita-cerita rakyat biasa di media sosial atau mengusik mereka.

Namun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan walaupun sibuk merencana pelbagai perancangan sepanjang 100 hari pentadbirannya ditambah pula negara berdepan penularan pandemik COVID-19, sifat kebapaan beliau terserlah sehingga diberi jolokan ‘Abah’ kerana mengambil tahu bermacam-macam hal rakyat yang dikongsikan di media sosial.

Lihat sahajalah bagaimana perdana menteri kelapan itu sejak dilantik ke jawatan itu pada 1 Mac lepas, bukan setakat bersahaja ketika menyampaikan perutusan mahupun pengumuman berkaitan COVID-19, tetapi turut menyelitkan isu-isu yang mendapat tempat di hati rakyat seperti kumpulan Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’.

Seorang pentadbir kumpulan tersebut, Azlan Mohd Shukri, 47, menyifatkan tindakan perdana menteri ‘mengusik’ isu yang dianggap remeh oleh segelintir pihak secara sendiri telah memenangi hati rakyat walaupun baru sahaja mentadbir negara.

“Bukan (perdana menteri) sebelum ini tidak bagus, semua ada pendekatan masing-masing, tetapi bila ini (Muhyiddin) usik isu yang kita anggap mungkin tidak penting, ia sangat mengejutkan, mengiktiraf usaha rakyat untuk mengisi masa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac.

“Begitu juga ada masa cara berpakaian beliau ketika mengumumkan sesuatu sangat santai, berkemeja biasa, singsing lengan dan ini buat kita terasa dekat, kadang-kadang rasa sedih seolah-olah beliau keletihan bekerja untuk rakyat,” katanya kepada Bernama.

Kepedulian Muhyiddin terhadap isu-isu warganet bukan itu sahaja, malah beliau telah mengejutkan rakyat apabila menghadiahkan tripod kepada YouTuber suami isteri yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ dalam tempoh empat hari selepas Bernama menyiarkan kisah pasangan itu pada 8 Mei.

Penerima, M.Sugu, 29, dan S.Pavithra,28, yang tinggal di kuarters milik sebuah syarikat perladangan di Sungai Siput, Perak bukan sahaja terkejut, malah tidak percaya perdana menteri akan memberikan hadiah kepada mereka berserta kad ucapan dengan kata-kata semangat.

“Siapalah kami ini untuk dapat hadiah daripada perdana menteri. Kami sangat berterima kasih, tidak sangka perdana menteri tahu mengenai kami walaupun beliau sibuk,” kata Pavithra yang popular dengan masakannya kini mempunyai seramai 626,000 pelanggan akaun YouTube.

Perkongsian Sugu Pavithra mengenai hadiah daripada Muhyiddin menerima pelbagai reaksi daripada warganet antaranya Awie Amri yang menulis “Siapa sayang PM terbaru kita like sikit” dan Muhamad Syafiq Ahmad Zainal menyatakan “Perdana Menteri kita sporting dan kelakar,” tulisnya di ruangan komen.

Turut memuji ialah pengguna dengan nama VB Creation yang menyatakan:”Walaupun sibuk dengan jadual kerja beliau tetap tampil memberikan peralatan penting untuk memberi galakan kepadanya (Pavithra) dalam usaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya. Tiada PM pernah melakukan ini sebelum ini, anda telah cipta sejarah yang menunjukkan anda sayangkan negara. Tabik hormat & semoga Tuhan sentiasa merahmati PM yang disayangi. Amen”.

Tidak ketinggalan mencuit hati rakyat apabila Muhyiddin ketika dalam perutusan khas Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (Tambahan) pada 6 April secara berseloroh menyatakan beliau tahu terdapat pihak yang mengubah ucapannya menjadi lagu rap.

Remix ‘ke sana, ke sini’ itu dihasilkan oleh Bass Agents terdiri daripada dua individu iaitu Nick Chia dan Chia Khoo Hoong yang menyatakan “Kami fikirkan ia mungkin kelakar apabila menggabungkan suara perdana menteri dalam muzik kami untuk tingkatkan kesedaran,” tulis mereka di laman Instagram.

Gurauan perdana menteri yang beliau juga tahu ada suami memakai baju kelawar isteri serta ada yang berbasikal di dalam rumah semasa PKP bukan sahaja menghiburkan rakyat, malah merasakan dekat di hati walaupun beliau hanya berucap di kaca televisyen.

“Saya harap ini bukanlah kejadian yang pelik atau buang tabiat orang kata. Ini adalah sebahagian daripada aktiviti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah (kerana PKP),” kata Muhyiddin.

Bersempena hari lahir ke-73 beliau pada 15 Mei lepas, rakyat Malaysia daripada semua kaum mempamerkan rasa sayang kepada perdana menteri dengan mengucapkan Selamat Hari Lahir dan mendoakan kesejahteraan beliau menerusi pelbagai platform media sosial milik perdana menteri.

Fatin Nazira Ammir Hamzah antaranya melontarkan ucapan “Selamat hari lahir untuk Abah …semoga Abah sentiasa dalam lindungan dan rahmat kasih sayang Allah SWT, terus kuat dalam memimpin Malaysia semampu Abah”.

Lee Seong Boon pula mengucapkan “Terima kasih PM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selamat Hari Lahir kepada anda. Semoga Tuhan sentiasa merahmati anda”, manakala Mageswari Murugiah mengucapkan “Selamat Hari lahir Tan Sri, Perdana Menteri yang terbaik untuk rakyat dalam waktu sukar ini”.

Ternyata sikap bersahaja, sempoi dan ‘usik’ isu warganet telah berjaya meletakkan Muhyiddin di hati rakyat pelbagai kaum. Terima kasih Abah.

Sumber: Salawaty Supardi dan Aisha Hani Nor Azmir via Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Azmil

Dari Wiser.my