Siakap Keli
Kredit: Bernama

TERKINI: Buat Pertama Kali, Tiada Kes Baru COVID-19 Libatkan Rakyat Malaysia Hari Ini

Putrajaya, 9 Jun – Tiada penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia setakat 12 tengah hari, 9 Jun.

Bagaimanapun menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak tujuh kes COVID-19 baru dicatatkan hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 6 daripada pesakit baru merupakan kes import yang mendapat jangkitan luar negara manakala satu kes baru penularan tempatan melibatkan warga asing.

“Seperti dimaklumkan, tiada kes penularan dalam negara dalam kalangan warga negara dicatatkan hari ini. Ini merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan negara setelah pelbagai usaha dilaksanakan bersama oleh semua pihak menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

“KKM telah menggunakan maklumat terbaru daripada jumlah kes-kes harian penularan dalam negara dalam kalangan warga negara dan membandingkannya dengan graf pemodelan COVID-19 seperti yang telah diramal oleh Institut Kesihatan Negara, KKM.”

Katanya, keputusan ini merupakan hasil kesan positif atas langkah kerajaan dan pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) digariskan.

“Didapati ia sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan tersebut iaitu di kawasan biru. Ini menggambarkan impak positif tindakan kerajaan serta pematuhan rakyat Malaysia terhadap SOP dan saranan kerajaan.

“KKM ingin mengucapkan tahniah terhadap rakyat Malaysia atas kerjasama terhadap kerajaan dalam usaha membendung COVID-19.

Pun begitu, beliau berpesan agar rakyat terus berhati-hati dan sentiasa patuh kepada saranan kerajaan bagi menghindari gelombang ketiga COVID-19.

“Namun, masyarakat perlu kekal berwaspada dan patuh SOP serta saranan ditetapkan bagi memastikan tiada jangkitan kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat setempat atau terjadinya gelombang ketiga,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 1,244 kes aktif dicatatkan dengan enam kes kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dicatatkan hari ini.

Sumber: RTM

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.