Siakap Keli
kisah seram rumah sewa
Kredit: Google

”Bila Benda Tu Ada, Bau Busuk Sangat-Sangat”, Pemuda Dedah Pengalaman Menyewa Rumah Pernah Ada Kes Bunuh

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Rumah sepatutnya menjadi tempat yang selesa, tenang dan damai untuk kita berlindung. Namun, bagaimana pula kalau rumah yang didiami rupanya ‘dikongsi’ dengan entiti misteri? Pasti tak lena tidur di malam hari dengan gangguan yang tak henti-henti.

Baru-baru ini, seorang pemuda berkongsi kisah seramnya tinggal selama enam bulan di sebuah rumah dipercayai berhantu bersama ayahnya beberapa tahun lalu.

Menurut Zaman Al-Akhr, rumah didiaminya mempunyai misteri sendiri. Dipercayai pernah menjadi lokasi pembunuhan kejam, rumah itu dikatakan tidak mempunyai penghuni yang tetap. Hanya beberapa hari sahaja, ada yang terus ‘angkat kaki’. Malah, ada yang mampu bertahan sehari sahaja kerana dipercayai tidak tahan dengan gangguan di sana.

Tanpa membuang masa, jom baca kisahnya.

Salam semua.. Sedikit perkongsian kisah benar yang berlaku pada aku ketika usia 17 tahun.

Di sebuah taman perumahan di sekitar Selangor ni ada tiga rumah berhantu sangat-sangat berdekatan. Aku diberitahu oleh jiran depan rumah aku pun pada malam terakhir sebelum aku dan bapak aku akan berpindah pada esok harinya. Jiran depan rumah aku ni geng bujang yang dah hampir 4 tahun ketika tu tinggal disitu.

Menurut mereka, aku dan bapak aku orang yang paling lama tinggal di rumah itu iaitu selama 6 bulan genap.

Sebelum kami, orang yang paling lama bertahan ialah satu bulan. Tu pun sebab nak habiskan deposit. Yang paling cepat pindah keluar ialah satu malam sahaja tidur di rumah tu.

Rumah ni rumah teres murah dua tingkat. Ruang sebelah bawah terbahagi kepada ruang tamu dan dapur sahaja. Sebelah atas ada 3 bilik.

Ketika mula-mula masuk ke rumah ni, aku tinjau bilik-bilik diatas dan bilik yang paling kecil ni ada kertas ayat 3 Qul yang tertampal pada dinding. Aku fikir mungkin tuan rumah malas nak koyakkan jadi dibiarkan saja.

Aku pula fikir sebab aku sorang je jadi aku duduk dalam bilik paling kecil tu.

Dua lagi bilik tu hanya dibiarkan kosong tanpa ada satu perabot pun sebab bapak aku jadikan ruang tamu dibawah tempat tidur dia. Secara logiknya aku fikir dia malas nak naik turun tangga untuk ke bilik air. Maklumlah bilik air hanya ada satu dibawah sebelah dapur.

Aku sebenarnya tak bersekolah pada umur 17 tahun. Aku dah bekerja waktu tu.

Ambil peperiksaan lewat setahun di Brickfields KL. Jadi aku banyak melepak diluar pada waktu malam. Selalu aku akan balik lewat sampai pukul 3.30 pagi.

Antara sebab aku malas nak duduk rumah sebab memang tak boleh tidur!! Siapa yang ada gangguan dirumahnya pasti tak rasa mengantuk sampai lepas pukul 3.45 pagi. Tiap-tiap hari aku hanya akan tertidur lepas pukul 4.15 pagi. Esoknya pagi-pagi dah bangun pergi kerja.

Aku memang tak nampak apa-apa penampakan di rumah tu. Tapi suasana seram dan bermacam gangguan sering berlaku. Antara gurauannya pada waktu Maghrib ia akan ketuk pintu dapur atau tingkap sebelah pintu dapur.

Gambar hiasan. (Kredit: Susan Branch)

Pernah aku tunggu benda tu ketuk pintu dapur, aku terus buka pintu dapur tu dan jenguk ke luar. Memang tak ada orang. Langsung tak ada bunyi orang lari atau apa-apa. Aku jenguk-jenguk sampai laman belakang memang tak ada orang.

Bila dah tahu memang benda tu yang usik, lain kali aku dah tak hirau dah dia ketuk-ketuk tingkap atau pintu tu. Lantakkan je lah..

Pernah sekali, abang aku datang dari kampung. Kebiasaan waktu malam lampu dalam rumah hanya lampu tangga sahaja yang menyala. Jadi cahaya ke dapur memang samar-samar hampir gelap gelita. Aku pulak dah biasa ke bilik air tanpa buka lampu dapur atau bilik air.

Gelap-gelap gitu je aku masuk bilik air sebab bapak aku tidur diruang tamu, aku takmau tidur dia terganggu. Malam yang abang aku datang tu, dia duduk dalam bilik sementara aku turun ke bilik air.

Dalam gelap-gelap tu lepas selesai buang air kecil, aku bukalah pintu bilik air tu nak keluar. Masa buka pintu bilik air tu abang aku duduk depan pintu bilik air dengan tangan macam nak terkam aku dalam gelap.

Aku ingatkan benda tu yang nak cekik. Aku pegang leher dia nak bagi penumbuk terus dia jerit cakap..

“Hei!! Ni aku lah.. Aku lah ni..” dia dah gabra lah sebab aku serius sangat masa tu.

Aku kata kat dia.. “Kau jangan bergurau macam ni..”

Terus naik ke bilik aku cakap kat dia rumah ni ada gangguan benda ketuk-ketuk lah. Periuk jatuh tengah-tengah malam. Plastik terapung turun dari tangga ke dapur. TV buka sendiri. Kau lagi nak sergah-sergah aku macam tu memang aku geram lah kan.

Bapak aku selalu balik kampung jenguk mak dan adik-adik dikampung. Jadi dia memang ada cerita pada mak aku pasal keadaan rumah tu.

Bapak aku kerap bangun pada pukul 5 pagi dan mengaji sampai Subuh kat ruang tamu tu. Kadang aku balik dekat pukul 5 pagi pun dia dah mula mengaji Al Quran. Aku fikir sebab dia memang nak tambah amalan lah. Rupanya ada sesuatu yang sebenarnya berlaku.

Sampailah masa aku dapat jumpa mak aku, barulah dia tanya dan ceritakan pada aku. Tapi dia kata kau jangan tanya bapak kau pulak pasal benda ni.

Mak aku tanya.. “Kau ada nampak apa-apa tak kat rumah tu?”

Aku kata.. “Tak ada mak.. Kenapa pulak, apa bendanya?”

Mak aku pun mulalah cerita apa yang bapak aku cerita pada dia.

“Sebenarnya, masa kau balik lewat-lewat sampai pukul 4 pagi tu bapak kau belum tidur. Bapak kau selubung je dengan selimut tapi dia tak tidur. Ada “orang” selalu berdiri antara dapur dan ruang tamu. Kadang-kadang dia berdiri kat tepi tangga nak naik tu.

“Bila benda tu ada, bau busuknya kuat sangat-sangat. Tu sebab kadang-kadang kau bau minyak attar bapak kau kuat tengah-tengah malam tu.

“Pernah dan selalunya waktu kau balik, benda tu tengah berdiri dan kau lalu sebelah dia masa nak naik tangga. Tapi bapak kau tengok kau jalan buat tak tau je ke dapur dan ke bilik air gelap-gelap.

“Kadang-kadang ada perempuan naik turun tangga tu malam-malam. Kau tak nampak apa-apa ke?”

Aku cakap kat mak, aku memang aku tak nampak apa-apa dan bau apa-apa pun.

Sampailah hari dan malam terakhir tu geng bujang depan rumah aku yang aku selalu lepak tu cerita pada aku apa yang berlaku. Hal-hal orang keluar masuk pindah dari rumah tu dan anak-anak kecik jiran yang selalu menangis antara pukul 2.30 pagi hingga pukul 3.30 pagi.

Dan juga kisah orang mati dibunuh dalam rumah yang aku duduk tu. Bukan setakat mati dibunuh, dia ditanam di ruang tamu rumah yang aku duduk tu.

Malam terakhir aku nak tidur tu, macam benda tu dah tau yang aku nak pindah esoknya. Dalam pukul 4 pagi aku nak lelapkan mata, aku pejam mata nak amik feel tidur.

Dalam masa aku pejam tu, seolah-olah ada orang lalu depan aku. Dua kali dia ulang-alik depan aku dan kedua kalinya tu dia berhenti betul-betul depan aku. Aku tak buka mata tapi aku tau yang duduk depan aku ni bukan benda yang usik bapak aku kat bawah tu.

Yang ni perempuan atau selalu orang panggil Kak ponti. Aku diam dan baca 3 Qul. Sambil berzikir aku nampak dia bergerak ke tingkap dan hilang.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Esoknya aku tanya geng bujang depan tu. Ada kak ponti ke kat sini. Brader tu cakap, kak ponti ni selalu kacau rumah jiran belakang rumah kau. Pelik jugalah aku pasal pertama kali dia kacau aku pulak. Macam tau-tau je aku nak pindah esok harinya.

Aku pindah tak jauh dari situ. Alhamdulillah rumah baru ni tak ada gangguan. Senang betul dapat rasa mengantuk di rumah baru. Dapatlah merasa tidur nyenyak dari pukul 10 malam ke pagi.

Ini adalah kisah yang benar-benar berlaku pada aku. Ada lagi sebenarnya benda yang berlaku di rumah tu. Gangguan ketika adik aku datang. Tapi jiran sebelah aku masa tu seorang ustaz dan dia bantu dengan bacaan pada air dan beri minum pada adik aku.

Rumah tu aku tengok ada orang duduk sekarang ni. Tak pastilah masih ada atau tidak gangguan tu..

Selesai kisah rumah tu.

Sumber: Zaman Al-Akhr

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.