Siakap Keli

Ibarat Dapat Kehidupan Baru, 4 Bekas Banduan Bersyukur Diberi Pekerjaan

TAIPING, 10 Jun — Ibarat mendapat kehidupan baharu, begitulah perasaan empat bekas banduan dari Penjara Taiping apabila mereka dibebaskan setelah selesai menjalani hukuman, dan kini diberi peluang pekerjaan.

Keempat-empat mereka berjaya memperoleh peluang pekerjaan dengan syarikat APG Steel Enterprise bagi pembinaan sebuah bangunan di Nilai, Negeri Sembilan menerusi Program Penempatan Semula Banduan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Seorang bekas banduan yang hanya ingin dikenali sebagai Azhar, 34, berkata peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk kelangsungan kehidupan.

Azhar yang berasal dari Bagan Serai, dibebaskan dari Penjara Taiping pada 24 Mei lepas setelah menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan berkaitan dadah, dan beliau berazam menjadi pekerja yang baik.

“Saya berterima kasih kepada pihak penjara kerana membantu saya mendapatkan pekerjaan selepas keluar dari penjara,” katanya ketika ditemui pada Program Penempatan Semula Banduan di luar perkarangan Penjara Taiping di sini hari ini.

Seorang lagi bekas banduan Fuad, 32, yang dibebaskan dari penjara sama pada 1 Jun lepas setelah enam bulan meringkuk kerana kesalahan dadah tidak menyangka akan diberi peluang untuk memulakan kehidupan baharu.

“Saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk keluarga dan diri saya. Terima kasih kerana menerima kami bekas banduan,” katanya yang berasal dari Trong di sini.

Sementara itu, pengurus syarikat terbabit, Mohd Muhlis Sukir berkata program itu sememangnya sangat baik kerana membantu majikan mencari pekerja tempatan dalam sektor pembinaan.

Pengarah Penjara Taiping, Mohd Farid Kasim berkata 45 bekas banduan telah ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan di Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang. Johor dan Selangor sejak Januari lepas di bawah program berkenaan, dengan tujuan memberi peluang kepada bekas banduan untuk membina kehidupan baharu supaya mereka tidak diabaikan dan dipinggirkan oleh masyarakat.

“Selain itu, program ini adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya tenaga kerja tempatan seperti banduan ini dapat menggantikan tenaga kerja asing di sektor pembinaan di negara,” katanya.

Sumber : BERNAMA 

Nurul Najiha