Siakap Keli

PDRM Akan Tarik Balik Semua Sekatan Jalan Raya Di Seluruh Negara, Tumpu Kepatuhan SOP – Ismail Sabri

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menarik balik semula semua sekatan jalan raya di seluruh negara, demikian menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media sebentar tadi.

Jelas beliau, namun penarikan sekatan jalan itu dikecualikan di kawasan-kawasan yang digunakan oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui lorong-lorong tikus di kawasan pantai dan sebagainya.

”Jadi untuk Ops Benteng sahaja sekatan jalan raya ini diadakan tetapi tidak lagi untuk rentas negeri,” kata beliau.

Selain itu, kata beliau, fokus PDRM sepanjang PKPP kini tertumpu kepada pematuhan SOP di tempat-tempat awam dan sebagainya.

”Seperti saya katakan bahawa PDRM tidak lagi menfokuskan kepada sekatan jalan raya tetapi menfokuskan kepada pematuhan SOP sama ada di premis-premis perniagaan, di tempat-tempat awam, pasar, pasar malam dan sebagainya,” kata beliau.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diganti dengan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

Di dalam perlaksanaan PKPP terdapat pelabgai kelonggaran yang diberikan kepada rakyat termasuklah kebenaran perjalanan merentas negeri dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

 

Sumber: Sidang Media PKPP

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.