PDRM, ATM Laksana Op Benteng Secara Besar-Besaran

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguat kuasa lain untuk melaksanakan Operasi Benteng secara besar-besaran di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memburu tekong dan ahli-ahli sindiket pendatang tanpa izin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, pihak berkuasa berjaya menahan beratus-ratus tekong darat, ejen, ‘transporter’ (pengangkut) dan pemilik premis ‘penampungan’ (rumah yang menempatkan pendatang tanpa izin).

“Tangkapan ini pasti memutuskan aliran masuk pendatang tanpa izin menerusi lorong tikus,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 396 pendatang tanpa izin dan 108 tekong dilaporkan telah ditahan dalam Op Benteng sejak 1 Mei (sehingga Isnin lepas) atas cubaan memasuki sempadan negara secara haram.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam tempoh berkenaan, pihak berkuasa juga berjaya menahan 11 individu disyaki penyeludup serta menyita 13 kapal.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Dari Wiser.my