Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Polis Terengganu Rampas Dadah Lebih RM1.7 Juta, Tahan Empat Individu

Kuala Terengganu: Polis merampas dadah bernilai lebih RM1.72 juta dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita yang disyaki pengedar, dalam dua serbuan di Kemasik, Kemaman, Isnin lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di kawasan berkenaan pada pukul 5.30 pagi, polis menahan tiga lelaki berumur 20 hingga 40an ditahan, dan merampas 40 botol heroin, 1,300 gram syabu serta 42,200 pil kuda atau yaba, dianggarkan bernilai RM1.058 juta.

”Selain itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM63,318 dan sebuah motokar bernilai kira-kira RM50,000 dalam serbuan itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah pertama pada pukul 1.45 tengah hari dan menahan seorang wanita berusia 31 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM252,916.

Beliau tidak menolak kemungkinan besar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan banyak Sekatan Jalan Raya di seluruh negeri, banyak stok lama dadah terkumpul, dan suspek menunggu tempoh kebenaran merentas negeri untuk menyambung kegiatan mengedar dadah.

Roslee berkata kumpulan individu itu dikatakan telah bergiat aktif dalam kegiatan mengedar dadah sejak empat atau lima bulan lepas dan kesemua dadah yang dirampas adalah bagi pasaran di sekitar negeri Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata kumpulan itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan penahanan seorang suspek yang menggunakan lori mengangkut buah-buahan untuk membawa pil kuda yang ditahan polis berhampiran Plaza Tol Telemong pada 25 April lepas.

”Hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari bermula hari ditangkap,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 36 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.