Siakap Keli
Gambar: Mirrornownews.com

“Saya Mahu Merasai Detik Kematian,” Lelaki Dilapor Maut Lepas Rakam Dirinya Minum Racun

Bengaluru – Seorang lelaki dilaporkan maut selepas merakam sebuah video perbuatannya meminum racun perosak dipercayai untuk dimuat naik ke media sosial.

Insiden yang meragut nyawa lelaki berusia 24 tahun itu dilaporkan berlaku di Koratagere Taluk, daerah Tumakuru pada malam Sabtu.

Selepas ditegur oleh ibunya kerana tidak dapat meraih pendapatan, dia telah memutuskan untuk membeli sebotol racun perosak dan merakam sebuah video sambil menyatakan, “Saya mahu merasai bagaimana detik-detik kematian dan akan cuba membunuh diri saya.”

Mangsa yang juga merupakan penduduk di Gouraganahalli, terus dikejarkan ke hospital berdekatan susulan daripada itu dan dilaporkan maut semasa menerima rawatan pada hari berikutnya.

Dalam pada itu, pihak polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Terdahulu, lelaki itu telah cuba merempuh sebatang pokok dengan motorsikal miliknya untuk ‘merasai’ kematian, pun begitu dia dilaporkan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan, lapor polis.

Menurut portal Mirrornownews.com, keluarga serta penduduk setempat sering menasihatinya agar tidak merisikokan nyawanya dalam melakukan aksi-aksi tersebut. Walau bagaimanapun, dia tidak mengendahkan dan tetap melakukan ‘eksperimen kematian’ tersebut. Dia juga turut dilaporkan kerap memuat naik obsesinya terhadap kematian di media sosial.

Penduduk kampung mendakwa bahawa perintah berkurung yang sedang dilaksanakan di India telah menyekat periuk nasinya. Oleh yang demikian, keadaan mentalnya juga difahamkan turut terkesan.

Menurut polis, mangsa hanya mahu menakutkan ibunya dengan ugutan bunuh diri dan mahu rasa sendiri pengalaman ‘hampir mati’.

“Dia telah meminum racun perosak itu di sebuah kebun namun mula merasa panik merasakan bahawa dirinya benar-benar akan mati dan terus pulang ke rumah. Dia kemudiannya menghubungi kawannya untuk membawanya ke hospital pada malam Sabtu,” ujar Polis.

Gambar: Mirrornownews.com

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa