Siakap Keli
Gambar: KKM

“Terima Kasih Dr. Rohaizat”, Datuk Noor Hisham Sebak, Salah Seorang ‘Panglima Perangnya’ Melawan Covid-19 Bersara Hari Ini

Hari ini, mungkin hari yang amat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah tamat semalam dan digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP).

Ramai rakyat Malaysia menyambut kemenangan ini dengan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk melepaskan rindu dengan ibu ayah tercinta.

Namun bagi hero kita; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, hari ini juga adalah hari yang sedih buat dirinya serta pasukan kesihatannya.

“Dengan berat hati, saya ingin memaklumkan bahawa pada hari ini adalah kali terakhir salah seorang panglima perang saya, iaitu Datuk Dr. Rohaizat bin Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bersara wajib pada 10 Jun 2020.

“Dan setelah berkhidmat selama 35 tahun 10 hari, beliau telah bersama dengan pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia mengharungi dan memerangi wabak COVID-19.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Datuk Dr. Rohaizat kerana memberi komitmen yang tinggi sepanjang perkhidmatan beliau kepada rakyat Malaysia,” ucapnya dengan penuh sebak.

Beliau berkata demikian ketika melaporkan perkembangan terkini kes jangkitan COVID-19 dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

“Saya sebagai salah seorang anggota KKM yang sama-sama bekerjasama dengan Yang Berbahagia Ketua Pengarah Kesihatan, juga Yang Berhormat Datuk Seri Menteri Kesihatan, timbalan-timbalan menteri dan semua warga Kementerian Kesihatan mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah memberi liputan yang teramat besar kepada kami, memberi peluang kepada kami.

“Sebenarnya bukan itu yang kami minta, (tapi) untuk maklumkan pada rakyat semua, betapa pentingnya maklumat itu diberikan.

Terima kasih Datuk Dr. Rohaizad atas segala jasa dan bakti ke atas perjuangan bersama Dr. Noor Hisham selama ini.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'