Siakap Keli

Tidak Serik-Serik, Dua Pemandu Mabuk Ditahan Polis Di Ipoh

Tidak pernah serik.

Meskipun sudah banyak kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, namun kelibat mereka di atas jalan raya masih lagi kelihatan sehingga ke hari ini.

Terbaharu, dua individu lelaki ditahan polis selepas didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had yang ditetapkan di dalam badan.

Difahamkan, kedua-duanya ditahan dalam satu operasi khas ‘Op Mabuk’ yang dijalankan oleh pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Sultan Azlan Shah awal pagi tadi.

Berita tersebut dikongsikan oleh halaman Facebook Polis Daerah Ipoh malam ini.

Untuk info, memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol adalah satu kesalahan menurut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk ini adalah satu jenayah berat yang tidak boleh dipandang ringan.

Baru-baru ini, seorang pembonceng motosikal maut serta penunggangnya cedera parah apabila motosikal mereka dilanggar seorang pemandu disyaki mabuk dalam satu kejadian di Lebuhraya Persekutuan, memetik laporan BERNAMA pada 29 Mei lalu.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan pernah berkata dalam satu kenyataan, cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan, iaitu Akta 333 yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan akan dibawa ke persidangan parlimen terdekat.

Sebagai kerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha mencegah jenayah pemandu mabuk, orang ramai boleh melaporkan terus sebarang aduan kesalahan trafik atau jalan raya yang dirakam ke talian 012-449 8997 menerusi aplikasi WhatsApp atau emel ke [email protected].

Sumber: FB Polis Daerah Ipoh

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.