Siakap Keli

Tiga Kontena Air Zam Zam Seludup Dirampas Kastam – BERNAMA

SHAH ALAM, 9 Jun (Bernama) — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk air zam-zam ke dalam negara selepas merampas 83,000 liter air berkenaan yang dianggar bernilai RM1.3 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat sini, Khamis lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata air zam-zam yang dibawa dalam tiga kontena bersaiz 40 kaki itu melibatkan nilai cukai berjumlah kira-kira RM343,000.

“Tiga kontena itu diikrar membawa muatan barangan dagangan iaitu buah kurma dari negara Timur Tengah bagi tujuan import, namun pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati ia membawa air zam-zam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha mengesan pengimport dan ejen penghantaran yang terlibat dalam kes itu untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967.

Katanya, bagi kesalahan pertama mengikut akta itu, pihak yang didapati bersalah boleh didenda 10 kali nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Sumber: BERNAMA, FB Jabatan Kastam Diraja Malaysia

 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.