Siakap Keli

Derita Hidup Balu Wira Negara Dapat Perhatian JHEV

SRI AMAN, 11 Jun — Kesulitan hidup yang dihadapi oleh Linjong Edward, 70, balu kepada seorang wira negara, mendiang Renjer Tinggi Chakom, yang maut ketika menentang pengganas komunis mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteren (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak Mej. Pahot Joll berkata usaha menjejak Linjong dilakukan selepas memperoleh maklumat daripada seorang ahli veteran yang memaklumkan balu tersebut hidup sebatang kara dalam keadaan daif di sebuah rumah panjang, Rumah Karin, Skrang, dekat sini.

“Sebaik menerima maklumat itu, kami terus menjejaki beliau dan kami dapati balu kepada wira negara ini bergantung kepada pencen mendiang suaminya berjumlah RM243.67 sebulan selain mengharapkan belas ihsan penduduk kampung untuk mendapatkan keperluan harian,” katanya dalam satu kenyataan.

 Pahot yang mengunjungi balu mendiang turut menyerahkan bantuan barangan makanan dan sumbangan daripada Tabung Jasamu Dikenang ATM selain mengumpul dokumentasi Linjong untuk membolehkannya disenaraikan sebagai penerima Bantuan Sara Hidup dari kerajaan.

Linjong sebelum ini bergantung harapan kepada anaknya namun anaknya itu telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu pada usia 52 tahun, manakala cucunya pula telah mengikut ibunya, sekali gus meninggalkan Linjong sendirian.

Menurut Pahot, Tinggi yang juga anggota Sarawak Renjer bersama tiga anggota yang lain terkorban selepas diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis di tebing Sungai Rajang pada 22 Nov 1970.

Sumber : BERNAMA

Nurul Najiha