Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Dua Wanita Sarat Mengandung Antara 10 Individu Ditahan Positif Dadah

ALOR SETAR, 11 Jun (Bernama) — Dua wanita sarat mengandung adalah antara 10 individu yang ditahan kerana positif dadah dalam Op Cegah yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Kuala Muda, semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata wanita berumur 26 tahun yang hamil lapan bulan itu ditahan bersama suaminya berumur 36 tahun di rumah mereka di Flat Paya Nahu 2, bersama seorang lagi lelaki dan seorang wanita.

“Saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu dan semasa serbuan dilakukan dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua hingga lapan tahun turut berada di dalam rumah itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan berasingan di Flat Paya Nahu pula, seorang wanita berumur 27 tahun yang mengandung tujuh bulan dan tinggal berseorangan, ditahan di rumahnya pada 10.30 pagi, selepas didapati positif dadah jenis morfin.

“Seorang lagi wanita berumur 26 tahun yang tinggal di kawasan sama turut ditahan kerana positif dadah jenis syabu. Selain itu, dua wanita dan dua lelaki yang berumur 26 hingga 39 tahun turut ditahan di enam kawasan panas di sekitar Kuala Muda dalam operasi bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu.

“Kesemua mereka yang ditahan positif dadah jenis syabu dan morfin itu akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 yang membolehkan mereka menjalani program rawatan dan pemulihan dengan pihak AADK,” katanya.

Arnida berkata operasi kali ini menunjukkan peningkatan penagih dadah dalam kalangan wanita dan ia membimbangkan kerana ada antara mereka yang hamil dan mempunyai anak-anak masih kecil.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story