Siakap Keli

Hasrat Hantar Wang Kepada Keluarga Tak Kesampaian, Lelaki Bangladesh Ditemui Maut Dipercayai Dibunuh Dengan Duit Di Sisi

Gambar: Bernama

TASEK GELUGOR, 10 Jun (Bernama) — Seorang lelaki warga Bangladesh ditemukan mati dengan kesan kecederaan di dahi dan kepala serta lebam dan cedera di beberapa bahagian badan, dipercayai dibunuh, di kawasan kebun sayur, Jalan Ara Kuda di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Mohammad Abdul Lofti, 59, ditemukan dalam keadaan terbaring oleh pekerja di kebun sayur itu kira-kira pukul 7.00 pagi ketika pekerja wanita dalam perjalanan ke kebun untuk bekerja.

“Wanita itu menghubungi polis memaklumkan penemuan mayat dan pemeriksaan awal menemukan banyak darah di badannya serta kesan koyakan di dahi kiri dan atas kepalanya, disyaki akibat dipukul dengan objek tumpul dan keras, lebam di pipi kiri serta cedera di lutut kanan.

“Barangan peribadi milik lelaki itu berada dalam bungkusan plastik bersamanya, antaranya terdiri daripada ubatan dan telefon bimbit serta beberapa keping wang di sisi kiri tangannya. Sebanyak RM418 ditemui bersamanya,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Menurutnya, polis turut menemukan sebatang besi gali lubang berukuran 70 sentimeter tidak jauh daripada mayat lelaki itu yang dipercayai senjata digunakan oleh suspek untuk memukul lelaki itu sehingga mati.

Ambil duit untuk kirim kepada keluarga

Noorzainy berkata berdasarkan keterangan pekerja kebun yang tinggal di kawasan kebun itu, lelaki berkenaan telah ke rumah majikan di situ pada pukul 9.00 malam semalam untuk mengambil duit gaji pekerja lain untuk dikirim kepada keluarga di Bangladesh.

Katanya selepas menerima wang gaji pekerja kebun RM3,000 lelaki itu terus beredar untuk pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari situ, sebelum mayatnya ditemukan pagi ini.

“Lelaki itu merupakan bekas pekerja di ladang sayur berkenaan dan sudah menetap selama tiga tahun di negara ini. Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia telah membuat perniagaan tambah nilai telefon bimbit dan dalam masa sama membantu mengirimkan wang kepada keluarga pekerja kebun di Bangladesh,” katanya.

“Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan laporan (bedah siasat) mendapati lelaki itu mati akibat hentakan kuat objek tumpul dan keras sehingga menyebabkan keretakan tulang tengkorak serta mengalami pendarahan yang banyak dalam otak,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.