Siakap Keli

Perak Peruntuk RM4.3 Juta Bantu Rakyat Hilang Pekerjaan Akibat COVID-19

IPOH, 11 Jun — Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM4.3 juta bagi melaksanakan Program Transformasi Tenagakerja untuk membantu 1,500 orang yang hilang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran kesan daripada COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata program itu yang bersifat tindakan jangka pendek bagi membantu mereka yang terjejas akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET) dalam tiga kategori skim.

Skim pertama adalah Latihan Peralihan Tenagakerja khusus untuk mereka yang telah diberhentikan dengan memberi fokus kepada kemahiran baharu untuk penempatan dalam industri yang menawarkan peluang pekerjaan.

“Menerusi skim ini, peserta akan menjalani latihan jangka pendek selama satu bulan dan diberikan elaun sebanyak RM500,” katanya dalam sidang media mengenai Program Transformasi Tenagakerja di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Mengenai kategori kedua, Ahmad Faizal berkata ia dikenali sebagai Skim Pengekalan Tenagakerja yang merupakan usaha kerajaan negeri membantu majikan mengekalkan pekerja mereka khususnya dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan.

Ahmad Faizal berkata menerusi skim ini, kerajaan negeri menyalurkan RM500 kepada majikan selama tiga bulan untuk mengekalkan setiap pekerja secara bersyarat dan para peserta akan menjalani latihan kemahiran tambahan bermula Julai hingga September.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi majikan, malah memberi manfaat jangka panjang kepada produktiviti syarikat hasil peningkatan kemahiran pekerja yang menyertai skim ini,” katanya.

Menteri Besar Perak berkata skim ketiga dikenali sebagai Latihan Peningkatan Kemahiran yang ditawarkan khas kepada pemandu pelancong dan ‘beach boy’ bagi membantu mereka mempelbagaikan kemahiran sedia ada.

Bagi skim itu, Ahmad Faizal berkata setiap peserta akan mengikuti latihan dua bulan bermula 22 Jun selain menerima elaun RM800 dan program itu dijalankan secara berperingkat dengan sasaran 200 peserta.

Menurut Ahmad Faizal permohonan bagi ketiga-tiga skim dibuka mulai 15 Jun ini secara dalam talian atau dengan mengisi borang daripada Jawatankuasa TVET negeri serta Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara bagi menangani isu pemberhentian pekerja,” kata Ahmad Faizal.

Sumber : BERNAMA

Nurul Najiha