Siakap Keli

Perjumpaan Dengan Penghuni Institusi Penjara Dibenarkan Bermula 15 Jun

Gambar:BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) — Jabatan Penjara Malaysia membenarkan sesi lawatan perjumpaan pelawat dengan penghuni di institusi penjara seluruh negara bermula 15 Jun ini.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Hafidz Othman berkata pelawat perlu membuat tempahan perjumpaan menggunakan dua kaedah iaitu secara dalam talian menerusi sistem i-VISIT atau panggilan telefon ke institusi penjara yang berkenaan.

“Hanya dua pelawat dibenarkan untuk berjumpa dengan penghuni dan setiap pelawat yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum berurusan di kaunter pendaftaran.

“Pelawat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebagai langkah membendung penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata saringan suhu akan dijalankan terhadap pelawat sebelum dibenarkan masuk untuk berurusan di tempat pendaftaran perjumpaan.

“Mana-mana pelawat yang mempunyai gejala saluran pernafasan iaitu batuk, selesema dan sakit tekak atau demam dengan suhu melebihi 37.5 darjah Celcius tidak dibenarkan melakukan perjumpaan.

“Hanya pelawat yang telah membuat tempahan perjumpaan dibenarkan untuk menunggu di ruang menunggu pelawat,” katanya.

Pada 30 Mac lepas, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan sesi perjumpaan antara penghuni di institusi penjara dengan keluarga ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, selaras dengan usaha menyekat penularan COVID-19.

— BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.