Siakap Keli

Setengah Juta Rumah Di Perak Disembur Kabus Cegah Denggi

IPOH, 11 Jun — Kerajaan negeri Perak menjalankan proses semburan kabus di hampir 500,000 premis kediaman sebagai usaha mencegah Denggi dan Chikungunya berikutan kes demam membabitkan kedua-dua wabak itu menunjukkan peningkatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata langkah berkenaan tidak akan dihentikan sehingga jumlah kes berkaitan dapat dikurangkan.

Katanya, bagi tempoh 1 Jan hingga 9 Jun tahun ini, sebanyak 1,797 kes demam denggi direkodkan di Perak, iaitu peningkatan sebanyak 23.1 peratus berbanding 1,460 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Kumulatif kes kematian akibat denggi bagi Perak adalah sebanyak tiga kes bagi tahun ini,” katanya selepas mengadakan operasi penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 di beberapa premis di sekitar bandar raya di sini hari ini.

Mengenai aspek pemeriksaan, Ahmad Saidi berkata sebanyak 215,184 premis diperiksa sejak awal Januari dan daripada jumlah itu, 4,100 premis didapati menjadi tempat pembiakan larva nyamuk Aedes.

Pada 30 Mei lepas, Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata negeri itu  merekodkan sebanyak 454 kes Chikungunya sejak Januari hingga 24 Mei tahun ini, meningkat lebih 30 kali ganda berbanding hanya 13 kes bagi tempoh sama tahun lepas

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.