Siakap Keli

TERKINI: Tiada Ibadah Haji Untuk Jemaah Malaysia Tahun Ini, Ditangguh Tahun Hadapan

Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan ibadah haji untuk semua rakyat Malaysia bagi musim haji 1441 ke tahun hadapan.

Keputusan tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu sidang media sebentar tadi.

”Setelah mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka saya bagi pihak kerajaan Malaysia ingin mengumumkan kepada semua rakyat malaysia yang beragama islam bahawa berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang bersama para Mufti, maka pada 9 Jun 2020 ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 Hijrah adalah ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Semalam, saya sudah menjemput Duta Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia untuk disampaikan kepada Dr Mohammed Saleh bin Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi,” kata beliau.

Selain Malaysia, Dr Zulkifli berkata antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah Haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.

Beliau menyeru agar semua bakal haji untuk bersabar dah redha akan keputusan ini.

Susulan itu, Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim (FAQ) berkaitan urusan penangguhan ibadat haji.

Sumber: Sidang Media Menteri Agama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.