Siakap Keli

“Tidak Ada Niat Untuk Menidakkan Hak Anda…” Menteri Agama Jelaskan Kenapa Masjid Belum Dibuka Untuk Warga Asing

Kebenaran solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah di masjid-masjid terpilih masih dikhususkan hanya untuk warga tempatan sahaja buat masa ini.

Bagaimanapun, bagi warga asing, kebenaran tersebut belum lagi diluluskan berikutan arahan dan nasihat daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memperjelaskan, walaupun larangan tersebut terpaksa dilaksanakan namun ianya tetap tidak membezakan ‘taraf’ mana-mana bangsa mahupun warganegara.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, tidak ada sekelumit pun niat dalam hati kami untuk menidakkan hak anda untuk beribadah bersama-sama kami di rumah Allah SWT.

“Bukan warganegara tetap saudara seagama yang berpayung di bawah kalimah syahadah yang sama.

“Buktinya, lihatlah selama ini sebelum adanya wabak COVID-19, bukan warganegara bebas untuk beribadah di mana-mana masjid, surau Jumaat dan surau,” katanya menerusi satu kenyataan di halaman Facebook, hari ini.

Gambar: Facebook

Menurutnya, kebenaran pembukaan masjid, surau Jumaat dan surau telah pun dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Mei lalu.

“InsyaAllah, sedikit masa lagi kita akan dapat sama-sama mengimarahkannya,” tambahnya lagi.

Mengimbas kembali, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah mengumumkan larangan tersebut dalam satu sidang media berkenaan perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 7 Jun lalu.

“Bila kita umumkan semalam, ianya tidak termasuk untuk warga asing, untuk solat jemaah dan jumaat yang dibenarkan ini hanyalah untuk warganegara Malaysia.

“Yang pertama, isu COVID-19 dalam kalangan warga asing lebih tinggi dari rakyat Malaysia dan yang kedua, tentu sahaja keutamaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

BACA: Kebenaran Solat Jemaah Dan Jumaat Untuk Warganegara Malaysia Sahaja- Ismail Sabri

 

Sumber: FB Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.