Siakap Keli
Gambar: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)

Ada Yang Sesak Lebih 6 Kilometer, Trafik Perlahan Di Beberapa Kawasan Akibat Kemalangan, Kenderaan Rosak & Terbakar

Minggu ini merupakan minggu pertama rentas negeri dibenarkan di seluruh negara setelah penguatkuasaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

Dalam kemaskini Lembaga Lebuhraya Malaysia, trafik dilaporkan sesak sejauh 6.3 kilometer dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi arah Timur berikutan kenderaan rosak. Kerosakan itu menyebabkan lorong kecemasan dan lorong kiri terhalang sekitar jam 9.10 malam tadi.

Sementara itu menurut kemaskini PLUS, sebuah kemalangan dilaporkan berlaku di KM258.8 menuju ke utara dari Terowong ke Kuala Kangsar, menyebabkan trafik perlahan.

Trafik dari Gopeng ke Tapah turut dilaporkan perlahan berikutan kerja pengalihan kenderaan yang terbakar di KM 323.2 arah selatan.

Di Kajang pula, terdapat satu kemalangan dilaporkan di KM 15.7 Lebuhraya GRANDSAGA menuju ke Pusat Bandar menyebabkan lorong kiri terhalang dan trafik perlahan pada jam 9.57 pm tadi.

Satu kemalangan turut dilaporkan di Lebuhraya ELITE, KM9.9 dari Putra Heights ke USJ pada jam 10 malam tadi. Tiada lorong terhalang, namun trafik dilaporkan bergerak perlahan.

Di lebuhraya sama, trafik dilaporkan perlahan sekitar jam 10.03 malam tadi berikutan kemalangan di Persimpangan Bandar Saujana Putra dari Putra Heights. Tiada lorong terhalang.

Orang ramai turut dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Sumber: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Trafik

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.