Siakap Keli

Bomba Selamatkan Dua Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Kereta

JOHOR BAHRU, 12 Jun — Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Muar berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta dalam dua kejadian berasingan di Taman Permas di sini dan Taman Indah dekat Muar malam tadi.

Komander Operasi BBP Johor Jaya PBK II Mohamad Kamal Shahri berkata dalam kejadian di sebuah hotel di Jalan Permas 10, Taman Permas di sini, pihaknya membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki, Akil Nor Iman Anuar, setahun lima bulan, selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.04 malam.

“Satu jentera bersama lapan anggota bergegas ke hotel itu dan mendapati mangsa terperangkap dalam kereta jenis Naza Citra. Difahamkan ibu bapa mangsa telah keluar dari kenderaan itu bagi tujuan pendaftaran hotel dan meninggalkan tiga anak berumur setahun hingga sembilan tahun di dalam kereta.

“Selepas itu, dua adik-beradik mangsa telah bertindak keluar dari kereta dan meninggalkan mangsa berseorangan di dalam kenderaan tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata apabila ibu bapa mangsa menyedari bahawa anak bongsu mereka telah ditinggalkan bersendirian, mereka bergegas kembali ke kereta itu namun mendapati ia sudah terkunci.

Mohamad Kamal berkata Akil Nor Iman dipercayai terperangkap kira-kira 10 minit di dalam kereta tersebut dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh lebih kurang lima minit dengan menggunakan peralatan khas sebelum menamatkan operasi pada 9.21 malam.

Sementara itu, Komander Operasi BBP Muar PBK II Zuraimi Harun berkata pihaknya berjaya membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang terperangkap di dalam kereta Proton Persona di deretan kedai di Taman Indah, dekat Muar selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.13 malam.

Zuraimi berkata operasi menyelamatkan Latifah Umairah Azizi, 10, membabitkan 13 anggota.

“Dalam kejadian tersebut, ibu dan bapa mangsa telah keluar untuk membeli barangan keperluan di kedai berdekatan dan bertindak meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta.

“Apabila kembali, mereka mendapati kereta yang sedang dihidupkan enjin itu sudah terkunci dan kanak-kanak itu tertidur,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ibu bapa mangsa dan orang awam cuba memanggil dan mengejutkan Latifah Umairah namun kanak-kanak itu tidak sedar menyebabkan mereka bertindak menghubungi bomba yang berjaya menyelamatkan mangsa dalam tempoh kira-kira lima minit dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya Latifah Umairah dipercayai ditinggalkan dan terperangkap dalam tempoh lebih kurang 10 minit dan operasi menyelamatkan kanak-kanak itu ditamatkan pada 10.22 malam.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha