Siakap Keli

Hampir 3 Bulan Ditutup, Kompleks Kraf Langkawi Sedia Terima Pengunjung

LANGKAWI, 12 Jun – Selepas hampir tiga bulan ditutup berikutan pandemik COVID-19, Kompleks Kraf Langkawi yang menyediakan ruang niaga bagi usahawan menjual pelbagai produk kraf buatan Malaysia, kini bersedia menerima kehadiran pengunjung.

Pengarah Kompleks Kraf Langkawi Rosman Manan berkata, ketika ini pihaknya bersama usahawan di kompleks tersebut sedang melakukan persiapan terakhir, sebelum premis niaga dan pameran kraf itu dibuka semula dalam tempoh terdekat.

“Berikutan pengumuman kerajaan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang membolehkan aktiviti muzium dapat diteruskan semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kita telah panggil semua usahawan untuk sediakan kembali ruang pameran mereka, yang hampir tiga bulan tidak dibuka.

“Selain sediakan semula untuk mempamerkan produk kraf yang dijual supaya lebih tersusun dan menarik, kita juga mahu pastikan SOP seperti jarak sosial dipatuhi. Ketika ini kita cuma tunggu arahan lanjut dari ibu pejabat untuk tarikh pembukaan semula,” katanya kepada Bernama.

Bagi usahawan seramik, Mohammad Radzi Ismail, 38, pembukaan semula kompleks tersebut membolehkannya berkarya semula, selepas hampir tiga bulan tidak dapat beroperasi.

“Pembukaan semula kompleks ini bagus, kerana Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan, apabila lokasi tumpuan kembali beroperasi, pengunjung akan lebih teruja untuk datang ke pulau ini.

“Pengusaha produk kraf juga dapat kembali menjana pendapatan selepas hampir tiga bulan tidak dapat berniaga,” katanya yang sudah lima tahun memiliki ruang pameran di kompleks tersebut.

Kompleks Kraf Langkawi terletak di Jalan Teluk Yu, menempatkan 25 usahawan yang mempamerkan produk seperti batik, seramik, anyaman, ukiran kayu, bengkel kraf, dan pelbagai barangan kraf lain.

Kompleks ini juga memiliki dua buah muzium iaitu Muzium Adat Istiadat dan Perkahwinan serta Muzium Warisan.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang