Siakap Keli

“Kaki Ayam Tinggi Protein Dan Rendah Lemak,” Ini Khasiat Setiap Bahagian Ayam Yang Anda Perlu Tahu

Ayam antara makanan yang menjadi pilihan kebanyakan individu di Malaysia tanpa mengira bangsa. Pelbagai jenis masakan boleh dihasilkan daripada ayam, sama ada secara kukus, goreng, bakar mahupun panggang.
Ayam bukan sahaja produk yang lazat, tetapi juga kalori rendah. Di antara semua ayam, daging ini mengandungi kebanyakan protein, asid amino, vitamin B, A, C, PP, fosforus, magnesium, besi dan banyak bahan berguna lain. Juga satu lagi kelebihannya terhadap jenis daging lain ialah ia mengandungi jumlah minimum lemak jenuh.
Namun, pasti ramai yang tidak tahu bahawa setiap bahagian ayam sebenarnya mempunyai nilai nutrisi yang berbeza.
Menerusi perkongsian dari laman Facebook Nutritionist Perak, mari kita lihat apa yang dimaksudkan dengan nilai nutrisi berbeza yang ada pada bahagian ayam yang perlu anda tahu.
Hari Raya sudah berlalu. Tapi Rendang Ayam masih lagi ‘hot menu’ sepanjang bulan Syawal ni kan? Mungkin untuk makan sendiri, atau untuk jiran tetangga. Ataupun untuk potluck Raya di pejabat.
Tapi admin bukanlah nak cerita pasal Rendang Ayam. Cuma nak kongsikan sedikit maklumat tentang ayam. Sebelum tu, dalam banyak-banyak bahagian ayam, bahagian mana yang anda suka? Ada orang dia suka peha ayam. Ada orang dia suka dada ayam. Malah, ada juga yang sukakan kaki ayam.
Tapi tahukah anda setiap bahagian ayam mempunyai nilai nutrisi yang berbeza? Jom admin rungkaikan FAKTA menarik mengenai nutrisi bahagian-bahagian ayam satu persatu.
Bahagian peha ayam (atau lebih dikenali sebagai chicken drumstick) dan bahagian atas peha ayam (atau lebih dikenali sebagai chicken thigh) sangat dikenali dengan bahagian yang tinggi lemak kan? Tetapi jika kita lihat maklumat pemakanan dalam gambar dibawah, kandungan lemak dan protein hampir sama banyak. Dari mana sebenarnya datangnya lemak dan protein ni?
Lemak untuk bahagian ini datang dari kulit yang melapisinya. Oleh itu, AWASI pengambilan kulit dari bahagian ini. Manakala protein untuk bahagian ini datang dari kepadatan otot yang tinggi kerana bahagian peha ayam ini adalah bahagian yang aktif bergerak bagi seekor ayam.
Bahagian dada ayam pula (atau lebih dikenali sebagai chicken breast) mempunyai kandungan protein yang tinggi dan rendah kalori jika dibandingkan dengan bahagian ayam yang lain. Oleh itu, daging dada ini sangat popular dikalangan mereka yang ingin menurunkan berat badan dan ahli sukan yang ingin tubuh lebih berotot.
Kaki ayam pula mempunyai peminat yang tersendiri. Kaki ayam mempunyai jumlah protein yang tinggi dan lemak yang kurang. Oleh itu, kaki ayam selalunya dijadikan sebagai salah satu bahan untuk menghasilkan ‘bone broth’ atau sup tulang. Malah, ada juga kajian menunjukkan bahawa kaki ayam merupakan sumber kolagen yang baik.
Bahagian kepak mempunyai lebih banyak kulit dan tulang daripada daging atau otot. Oleh itu, kalori bagi 100g kepak ayam mentah datangnya daripada lemak.
Hati ayam pula mempunyai jumlah protein yang tinggi dan lemak yang rendah. Lazimnya, hati ayam dijadikan sebagai rencah dalam masakan sayur-sayuran. Tetapi adakah anda tahu bahawa hati ayam juga merupakan salah satu sumber zat besi yang baik? Dengan pengambilan 1 ketul (2 lobar) hati ayam mampu membekalkan 10.7mg sumber zat besi.
Saranan pengambilan diet (RNI) untuk zat besi di Malaysia bagi semua wanita dewasa (atas 19 tahun) yang sihat adalah 29mg sehari manakala lelaki dewasa dewasa (atas 19 tahun) adalah 14mg sehari. Keperluan semakin meningkat jika seorang wanita itu hamil atau menyusu.
Dapat tahu sesuatu yang baru tentang ayam hari ini? Mana satu bahagian ayam yang anda akan pilih? Yang rendah kalori tapi tinggi protein atau tinggi kalori, tinggi protein dan tinggi lemak?
Tepuk dada tanya selera.
Dhiera Zainudin
Nutritionist Perak
Sumber:
1) Nutrient Composition of Malaysian Foods, 1997
2) Atlas Makanan: Saiz Pertukaran & Porsi, 2015
3) Recommended Nutrient Intakes for Malaysia, 2017

Nor Azilah