Siakap Keli

Mahkamah: Lelaki Didakwa Tipu Pelaburan RM60,000

SEREMBAN, 12 Jun  — Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penipuan berjumlah RM60,000 pada Ogos tahun lepas.

Tertuduh Muhamad Fadzli Jamaludin, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Madihah Harullah.

Tertuduh didakwa pada Ogos 2019 di Taman Matahari Indah Senawang, dekat sini, telah menerima deposit daripada seorang wanita berjumlah RM60,000 tanpa  lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) dan Seksyen 137 (2) Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta pasportnya perlu diserah kepada mahkamah dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak dan tertuduh diwakili peguam B.R. Puvarasan.

Sumber: Bernama

Nor Azilah