Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

Polis Jejaki Seorang Lelaki Tempatan Bantu Kes Tetak Pengawal Keselamatan Di Klang

KLANG, 11 Jun  — Polis menjejaki seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes tetak seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di sini sehingga mangsa putus kedua-dua pergelangan tangan pada 4 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata siasatan mendapati lelaki yang dijejaki, G.Seva Shangar, 33, dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

Beliau berkata pengawal keselamatan terbabit turut mengalami kecederaan di kepala, kaki, bahu dan muka.

“Dalam kejadian itu, mangsa didatangi dua lelaki memakai topi keledar warna gelap, muka ditutup sapu tangan dan bersenjatakan parang lalu menyerangnya sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek tidak mencederakan rakan mangsa yang bertugas bersamanya di pondok keselamatan sekolah itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nurulhuda berkata siasatan mendapati mangsa sebelum ini berselisih faham dengan seorang suspek utama kejadian itu yang masih bebas berkaitan isu lot tanah yang diusahakan untuk menternak lembu.

Beliau berkata suspek utama mengupah dua lelaki terbabit dengan bayaran RM10,000 untuk mencederakan mangsa sebagai amaran kepadanya berkaitan isu lot tanah tersebut.

Susulan itu, katanya polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang warga India berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kes tetak tersebut.

Beliau berkata semakan mendapati tiga suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemuanya direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Nurulhuda berkata sebanyak 2.6 kilogram dadah jenis metamfetamin dan 1.4 kilogram heroin yang dianggarkan bernilai RM176,370 dirampas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Klang Utara dalam beberapa serbuan sejak Januari hingga awal bulan ini.

“Dalam tempoh sama juga, kita menyelesaikan 13 kes narkotik dengan penahanan 22 warga tempatan dan seorang warga Thailand. Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.