Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Remaja Perempuan Rohingya Dipenjara 10 Bulan Dera Tiga Adik Kandung

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Seorang remaja etnik Rohingya yang sedang sarat mengandung dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan mendera tiga adik kandungnya yang enggan meminta sedekah, pada tahun lepas.

Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan remaja perempuan berusia 18 tahun itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Dis 2019.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, remaja itu mengaku bersalah memukul tiga adik lelakinya yang masing-masing berumur enam, 10 dan 11 tahun dengan maksud hendak mendera, di Jalan Bukit Bintang di sini, pada 10 pagi, 3 Dis 2019.

Dia yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh melakukan penderaan terhadap adik kandungnya sendiri kerana enggan mengikut arahannya untuk meminta sedekah di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, remaja perempuan itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan memberi alasan dia sedang mengandung lapan bulan serta tidak mampu membayar denda.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story