GEORGE TOWN, 12 Jun — Walaupun tiada mangsa dalam kejadian ribut di Pulau Pinang pagi tadi, tetapi sebahagian daripada harta benda penduduk rosak teruk akibat bencana itu.
Mohd Zamri Mohamed Yusof, 36, mempunyai pengalaman deja vu selepas bumbung rumahnya di Jalan Teluk Tempoyak, Batu Maung dekat sini, diterbangkan angin kencang, untuk kali kedua hari ini.
Mohd Zamri, yang bekerja sebagai jurugegas di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), berkata insiden pertama berlaku pada Jun 2018, apabila separuh daripada atap rumahnya rosak semasa sambutan Aidilfitri dua tahun yang lepas.
“Kali ini kejadian sekitar 12 tengah hari, apabila saya mendengar bunyi mengejut yang kuat dan tiupan angin yang kencang. Saat saya keluar rumah untuk memeriksa, sebahagian daripada bumbung saya telah tercabut,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, di Kampung Sungai Tiram, Bayan Lepas, beberapa pokok tumbang di tepi jalan dan turut menghempap kenderaan yang diparkir di kawasan itu akibat dibadai ribut.
Pemandu lori, A. Pritto, 40, yang kenderaannya mengalami kerosakan teruk selepas dihempap pokok, berkata kejadian itu berlaku sekitar 11.30 pagi dan 11.45 pagi, apabila dia mendengar bunyi angin kencang diikuti ribut yang kuat di luar rumahnya.
“Saya anggarkan kerugian akibat kerosakan kereta saya itu lingkungan RM50,000 hingga 60,000,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Datuk Abdul Halim Hussain, yang turun padang melihat kerosakan akibat bencana itu di Kampung Sungai Tiram berkata beliau akan meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang membersihkan pokok yang tumbang dengan segera.
“Kami menjangkakan pokok yang tumbang akan dibersihkan sepenuhnya, selewat-lewatnya pada Isnin (15 Jun),” katanya.
Sumber: BERNAMA