Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Operasi Mencari Kanak-Kanak Dikhuatiri Lemas Di Sungai Bakau Diperluas

Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Bakau, Rawang ketika bermain di tebing sungai itu semalam, diperluaskan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata operasi SAR bagi mengesan Muhammad Suhaili Fazil, 10, diperluaskan sehingga lebih lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Selain itu, pihak bomba turut menambah bilangan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) serta menggerakkan Unit K9 iaitu menggunakan anjing terlatih bagi membantu mengesan mangsa.

“Operasi SAR mangsa dilakukan di kawasan tebing sungai bermula 8.00 pagi ini dan setakat pukul 12 tengah hari ini mangsa masih belum ditemui,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang pergi ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.49 petang dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kedalaman paras air di sungai berkenaan adalah kira-kira satu meter.

Mangsa yang bermain bersama abangnya di tebing sungai berkenaan dikatakan tergelincir sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian pukul 3.30 petang itu.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.