Siakap Keli

Imigresen Selangor Tahan 10 Pendatang Tanpa Izin

KUALA LANGAT, 14 Jun – Seramai 10 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Selangor di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dekat sini hari ini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran sejak awal bulan ini.

Menurut sumber, 803 warga asing diperiksa dalam operasi selama kira-kira tiga jam yang bermula pukul 9.00 pagi, dan mereka yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Bangladesh dan empat lelaki India, berumur di antara 19-50 tahun.

Beliau memberitahu Bernama semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih, dan kes disiasat mengikut Seksyen 35, Akta Imigresen 1959/63.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran pada 2 Jun selepas 20 pekerja asing sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di kawasan itu didapati positif COVID-19.

Kawasan PKP secara pentadbiran seluas 43.3 hektar itu didiami kira-kira 9,000 penghuni dengan 30 peratus daripadanya merupakan rakyat asing, dan tinjauan Bernama di lokasi hari ini mendapati kebanyakan anggota yang terlibat dalam operasi di kawasan itu mengenakan peralatan perlindungan peribadi yang lengkap sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain anggota Jabatan Imigresen Selangor, difahamkan operasi hari ini turut disertai oleh polis, Rela, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Kementerian Kesihatan.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang