Siakap Keli

KBS Belum Kemuka Permohonan Atlet Ke Luar Negara – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 14 Jun – Belum ada sebarang permohonan dikemukakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi atlet yang mewakili negara untuk ke kejohanan di luar negara, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat kebenaran bagi atlet ke luar negara selepas KBS menghantar permohonan itu kepada Jabatan Imigresen.

Jelasnya, buat masa ini negara masih lagi mengekalkan polisi iaitu tidak membenarkan rakyat Malaysia ke luar negara kecuali sebab-sebab tertentu.

“Ianya secara case-to-case basis iaitu permohonan mesti dibuat di Jabatan Imigresen. Begitu juga dengan warga luar yang nak masuk ke dalam negara, kita masih lagi mengekalkan polisi yang sama.

“Hanya beberapa kumpulan tertentu yang dibenarkan misalnya diplomat, peserta Malaysia My Second Home dan sebagainya,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Memberi contoh negara Jepun yang mengambil pendirian tegas dalam menangguh penganjuran Sukan Olimpik 2020, beliau berkata Malaysia turut mengambil pendekatan sama masih tidak benarkan kemasukan atlet luar ke negara kita.

Mengenai kelonggaran pergerakan rentas negeri, Ismail Sabri turut berkongsi perjalanan beliau balik ke kawasan Bera semalam yang mendapati trafik lancar walaupun terdapat peningkatan pergerakan kenderaan di lebuh raya utama.

Beliau turut meluahkan rasa puas hati dengan kepatuhan peniaga dan orang ramai kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan apabila singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R) di Lanchang.

Beliau menyuarakan kebimbangan orang ramai yang balik dari kampung hari ini untuk memulakan kerja esok dan meminta mereka sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan serta patuh kepada SOP sewaktu singgah di R&R.

Mengenai kawalan sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin dalam mengekang jenayah dan penularan wabak COVID-19, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam telah membuat 67 sekatan jalan dan memeriksa 48,460 kenderaan, terutamanya di lorong tikus.

Katanya, PDRM telah berjaya menahan 20 warganegara asing di sekatan jalan raya Ops Benteng atas kesalahan imigresen.

Tegas beliau, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan kawalan kawasan sempadan akan terus diperketatkan terutamanya lorong-lorong tikus.

Sementara itu, Ismail Sabri menasihatkan orang ramai untuk menjaga kebebasan yang diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta kekal patuh SOP seperti yang ditetapkan.

Merujuk berita tular melibatkan isu jarak sosial di Zoo Negara, Ismail Sabri berkata beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menghantar pasukan pematuhan SOP ke tempat berkenaan bagi memantau dan melihat sendiri perkara itu.

“Zoo adalah tempat tumpuan terutamanya untuk membawa anak beriadah, namun, SOP mesti dipatuhi kerana jika ada kes COVID-19 di Zoo Negara kerana kegagalan mematuhi SOP, zoo mungkin akan ditutup semula,” katanya.

Beliau berkata kawalan kendiri dalam kalangan rakyat amat penting bagi memastikan tiada kes positif COVID-19 atau kewujudan kluster baharu di tempat tumpuan awam.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang