Siakap Keli
Kredit: Dr Maza/Bernama

10 Tahun Kerah Kudrat, Lelaki Cekal Dari Perlis Ini Berjaya Ubah Hutan Jadi Taman Yang Cantik

PADANG BESAR, 15 Jun (Bernama) — Di sebalik rimbunan pokok serai berlatarbelakangkan pemandangan hijau Bukit Chabang, kelihatan seorang lelaki sedang sibuk membersihkan rumput liar.

“Tam…tam… jangan datang sini, nanti kotor,” jerit Kassim Shahruddin, 39, sambil tersenyum melihat gelagat manja kucing kesayangannya berguling-guling atas rumput hijau bagaikan hamparan permaidani yang terletak di sebelah kebunnya.

Kassim berkata beliau menggunakan tulang empat keratnya untuk mengusahakan tanah seluas kira-kira dua hektar milik bapanya di kaki bukit itu tanpa meminta bantuan orang lain.

“Saya mula membersihkan tanah ini 10 tahun lalu, seorang diri, berbekalkan modal RM50,000 hasil jualan tanah bagi bangunkan perusahaan berkonsepkan ‘taman dan kebun’.

“Namun disebabkan modal yang terhad, buat masa ini saya hanya usahakan tanaman serai, ternakan kambing dan juga ikan puyu,” katanya sambil mengosok badan ‘Tam’ kucing hitam manja.

Kassim berkata ramai pelancong datang ke kebunnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi menikmati keindahan pemandangan kebunnya itu yang berlatarbelakangkan Bukit Chabang.

“Tam (kucing) sering mendapat perhatian pengunjung yang suka mendukung dan melayan kerenah kucing manja itu… saya ada bela sembilan ekor kucing,” katanya yang tinggal bersendirian di kebun itu.

Kassim berkata buat masa ini beliau menyediakan pakej katering kepada pengunjung yang berminat untuk berkhemah di sini.

“Untuk masa akan datang, jika ada modal, saya bercadang untuk membina pondok bagi kemudahan pengunjung yang ingin bermalam,” katanya.

Keindahan pemandangan di kebun Kassim menarik perhatian Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang memuji sikap rajin lelaki tersebut mengusahakan taman dan kebun.

“Jika beberapa minggu lepas kita pernah mendengar cerita miskin dan malas, ini pula cerita orang kampung biasa yang rajin dan terbukti hasil kerajinannya pada solekan alam sehingga mengundang minat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mencemar duli ke sini,” katanya menerusi catatan di laman Facebook miliknya.

Mohd Asri berkata sesiapa yang datang ke Perlis tetapi tidak sampai ke sini, maka ia satu kekurangan kerana pemandangan begitu indah berlatarbelakangkan dua bukit yang cantik.

“Kita perlu membantu golongan sebegini, bukan yang malas lalu miskin,” kata beliau ketika dihubungi Bernama.

Turut berkongsi pengalaman menikmati pemandangan kawasan berkenaan, Nur Farhana Ramadzan, 33, yang sekeluarga datang ke sini setelah terbaca catatan yang tular mengenai keindahan kebun milik seorang lelaki di laman sosial Facebook.

“Kebetulan saya berada di kampung suami dan saya ajak dia ke tempat ini, Subhanallah, pemandangan di sini amat cantik, mengingatkan saya dan keluarga betapa indahnya ciptaan Tuhan,” kata ibu kepada dua orang anak dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Beliau berkata anaknya teruja datang ke kebun itu kerana bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam tetapi juga dapat melihat dengan lebih dekat binatang seperti kambing dan ayam Mutiara yang terdapat di sini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.