Siakap Keli

Dipercayai Berpunca Dari Aktiviti Kunjung-Mengunjungi Antara Keluarga, 7 Dikesan Positif COVID-19 Di Australia

Tujuh (7) kes yang dikesan daripada 12 kes baharu COVID-19 di Victoria, Melbourne, Australia setakat Isnin (hari ini) adalah daripada aktiviti kunjung-mengunjung ahli keluarga.

Memetik laporan 7news, kesemua mereka termasuk empat kanak-kanak yang disahkan positif itu didakwa telah berkunjung ke empat buah rumah di Coburg, Broadmeadows dan Pakenham.

Dalam pada itu, St. Dominic School di Broadmeadows ditutup sekurang-kurangnya tiga hari bermula Isnin berikutan dua kes positif pelajar di sekolah itu adalah daripada kluster keluarga tadi.

“Pusat pensampelan akan dibuka di kawasan ini dan segala maklumat terkini berkenaan hasil ujian saringan akan diumumkan esok,” kata satu kenyataan.

Manakala Pakenham Springs Primary School juga turut ditutup selepas dua pelajarnya daripada keluarga yang sama disahkan positif COVID-19.

“Mana-mana pelajar dan kakitangan yang hadir ke sekolah akan diminta kekal berada di rumah ketika proses penjejakan kontak dijalankan,” jelas timbalan guru besar, Renee Cotterell.

Difahamkan, daripada 12 kes baharu tersebut, tujuh (7) kes adalah melibatkan penyebaran keluarga yang berkunjung ke rumah-rumah, dua (2) kes pesakit di sebuah hospital, satu (1) kes seorang penunjuk perasaan Black Lives Matter, satu (1) di hotel kuarantin serta satu (1) lagi masih dalam siasatan.

Protester Black Lives Matter Positif COVID-19

Sementara itu, Ketua Pegawai Kesihatan Victoria, Brett Sutton berkata, jangkitan melibatkan seorang wanita dalam himpunan protes tersebut tidak berkaitan dengan kes pertama.

“Mereka tidak mungkin memperolehnya (jangkitan) di sana.

“Untuk individu ini, punca jangkitan agak tidak jelas, tetapi (difahamkan) mereka memakai alat perlindungan diri (PPE) dan menjaga kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dengan individu lain,” jelasnya.

Untuk rekod, 12 kes baharu yang dikesan itu menjadikan angka terkini jangkitan COVID-19 di Victoria adalah sebanyak 1,732 kes.

Sumber: Twitter, 7news

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.