Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Kementerian Pengangkutan Sedang Rancang Beri Diskaun Saman – BERNAMA

Kementerian Pengangkutan bercadang memberi tawaran diskaun untuk saman tertunggak sempena bulan kemerdekaan pada bulan Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata pihak kementerian sedang berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai kaedah untuk membantu rakyat yang mempunyai saman tertunggak dan disenaraihitamkan, yang menyebabkan mereka tidak boleh berdaftar dengan perkhidmatan e-hailing, termasuk untuk perkhidmatan menghantar makanan.

Katanya beliau menerima banyak rayuan mengenai tunggakan saman dan tindakan senarai hitam, yang mengakibatkan mereka tidak boleh mencari pendapatan melalui perkhidmatan e-hailing terutama ketika tempoh sukar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan pandemik COVID-19.

“Kita tahu tahun ini orang susah.. kita berbincang.. bulan kemerdekaan ini kita bagi diskaun yang akan diumumkan nanti. Kita bagi tawaran supaya mereka dapat selesaikan (tunggakan saman) dan keluar daripada senarai hitam yang menyebabkan lesen tidak boleh diperbaharui,” katanya.

“Kita bukan batalkan terus (saman) tetapi beri tawaran (diskaun) dalam keadaan susah kerana berdepan dengan COVID-19,” katanya dalam temu bual bersama media bersempena 100 hari beliau sebagai Menteri Pengangkutan, di sini baru-baru ini.

Sementara itu Wee berkata beliau telah meminta Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan di setiap pejabat JPJ bermula September ini bagi mengenal pasti masalah rakyat dan menyelesaikannya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right