Siakap Keli
Gambar: Bernama, Gambar: Via Google

Ketagihan Air Ketum Boleh Sebabkan Kemurungan – Pakar Psikiatri

Ketagihan seseorang individu terhadap pengambilan ‘jus ketum’ atau air ketum boleh mengakibatkan kemurungan sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka untuk jangka masa panjang, kata pakar psikiatri di Hospital Pantai, Sungai Petani.

Dr Mohammad Farris Iman Leong Abdullah berkata walaupun kajian mendapati bahan ‘Mitragynine’ dan ‘7-Hydroxymitragynine’ yang terkandung dalam daun ketum mampu merangsang sistem otak manusia untuk berasa gembira dan teruja, namun ia hanya berkesan dalam tempoh masa pendek.

Menurut beliau, pengambilan air ketum secara berlebihan dan berpanjangan akan menyebabkan seseorang individu itu menjadi ketagih sehingga mereka boleh mengalami kemurungan sekiranya tidak meminum air ketum.

“Dua bahan ini akan buat seseorang itu rasa gembira, teruja dan mahu bersosial. Ia membuatkan mereka rasa seronok untuk jangka masa pendek. Apabila rasa seronok, mereka akan sentiasa ulang dan terus minum secara berterusan sehingga muncul ketagihan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Dr Mohammad Farris berkata ketum sememangnya memiliki potensi untuk mengubati kemurungan, antikeradangan dan ubat penenang, namun pengambilan secara kerap dan berlebihan hanya mengundang kesan negatif kepada seseorang individu itu untuk jangka panjang.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatri Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia itu juga menarik perhatian bahawa kemurungan disebabkan ketagihan ketum bagaimanapun tidak menjadikan individu itu agresif sehingga mencederakan orang lain atau diri sendiri.

“Setakat ini belum ada kes mahupun hasil kajian menunjukkan kesan ketagihan ketum ini boleh menyebabkan seseorang itu boleh sakit mental ataupun boleh bunuh diri. Ia berlainan dengan pengambilan ganja yang boleh buat seseorang itu jadi skizofrenia,” katanya.

Dr Mohammad Farris berkata meskipun kesan pengambilan ketum tidak seteruk pengambilan ganja, namun orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terjebak meminum air ketum walaupun dengan alasan untuk dijadikan sebagai ubat tradisional.

“Ketum orang selalu sebut sebagai ubat tradisional tetapi mereka tidak sedar kalau digunakan dalam kuantiti yang banyak dan juga kronik, ia boleh jadi ketagih dan ketagihan jadi akan lebih teruk kalau mengambil empat gelas atau lebih dalam sehari,” katanya yang turut menjelaskan pengambilan air ketum boleh menjejaskan fungsi jantung.

Dalam pada itu, Dr Mohammad Farris berkata ketagihan ketum boleh dirawat melalui ubat-ubatan dan psikoterapi serta ubat paling bersesuaian yang kurang kesan sampingan untuk memulihkan penagih ketum ialah ‘Suboxone’.

Sehubungan itu, beliau meminta penagih ketum tampil mendapatkan rawatan sebaiknya dengan pakar dalam kadar segera untuk memastikan ketagihan mereka tidak kronik sekali gus mereka boleh menjalani kehidupan biasa secara normal.

“Ketagihan ketum boleh dipulihkan, tetapi ada risiko untuk mereka mengambil semula ketum. Namun, jika penagih ketum ini ambil ubat dan jalani proses psikoterapi dengan berkesan, mereka boleh pulih dan hilang kebergantungan kepada jus ketum ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right