Siakap Keli

Majikan Diingatkan Semak Ketulenan Dokumen Ujian Saringan COVID-19 Pekerja Asing

KUALA LUMPUR, 15 Jun  — Majikan yang ingin menggajikan pekerja warga asing diingatkan supaya menyemak ketulenan dokumen ujian saringan COVID-19 yang dikemukakan dengan pejabat kesihatan.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DCP Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata perkara itu penting untuk mengelakkan wujud kluster baharu disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab warga asing memalsukan dokumen kesihatan mereka.

“Mereka (majikan) perlu memeriksa dengan pejabat kesihatan dan memastikan butiran laporan kesihatan serta nama bakal pekerja itu sama seperti yang ada dalam rekod kesihatan yang sah, untuk mengelakkan wujud kluster baharu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes sindiket yang mengeluarkan dokumen palsu ujian saringan COVID-19 kepada warga asing.

Jelasnya, setakat ini pihak JSJK Bukit Aman menerima empat laporan pemalsuan ujian kesihatan COVID-19 dengan setiap dokumen berkenaan dijual pada harga RM50 kepada warga asing.

Tambahnya, Bukit Aman akan sentiasa mengadakan pemantauan dan siasatan bersama dengan polis Kuala Lumpur bagi membanteras kegiatan itu.

Bernama sebelum ini melaporkan tujuh lelaki warga Bangladesh, berumur 26 hingga 30 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan, ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan memalsukan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.