Siakap Keli

PKPP: Lebih Banyak PATI Dijangka Cuba Masuk Ke Johor – Polis

JOHOR BAHRU, 15 Jun — Pihak berkuasa menjangkakan lebih banyak migran akan cuba menyusup masuk ke negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan semakin banyak sektor ekonomi mula dibuka, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan pada beberapa percubaan kemasukan migran yang berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa akhir-akhir ini menerusi pelbagai operasi yang dilakukan.

Katanya semalam pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tentera dan polis marin berjaya mematahkan cubaan  menyeludup masuk 20 migran di kawasan daratan berhampiran ladang di Kota Tinggi.

“Jadi daripada ini, dapat nampak setiap hari, setiap minggu ada cubaan masuk …bagaimanapun, mereka menghadapi kesukaran kerana pihak berkuasa telah berjaya tangkap hampir 95 peratus tekong darat, tekong laut dan ‘transporter’ untuk kawasan pantai timur Johor ke Batam dan Bintan, Indonesia. Pada masa sama, kawalan di perairan Indonesia juga telah diperketatkan,” katanya.

Gambar: BERNAMA

Beliau berkata demikian  kepada pemberita di sini, hari ini ketika ditanya tentang kecenderungan migran untuk menyusup masuk ke Malaysia susulan ramai tenaga kerja akan diperlukan oleh sektor ekonomi yang dibuka semula susulan pelaksanaan PKPP.

Pada 7 Jun lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP akan dilaksanakan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos sebagai menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Susulan pengumuman itu, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kerana hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP).

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.