Siakap Keli

(Video) APMM Ingatkan Kaki Pancing & Nelayan Lebih Berhati-Hati Di Laut

Para kaki pancing atau nelayan dinasihatkan untuk memiliki alat pengesan lokasi individu atau Personal Locator Beacon (PLB) sebagai langkah keselamatan ketika berada jauh di tengah laut.

Difahamkan, alat tersebut adalah sebagai inisiatif untuk pihak berkuasa mengesan kedudukan mereka sekiranya berlaku sebarang kecemasan yang tidak dijangka, tambahan pula agak sukar untuk mendapat liputan rangkaian di sana.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat lepas, kira-kira 23 kes pemancing jatuh ke laut dan nelayan hanyut telah direkodkan dalam tempoh seminggu sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula.

Ada sesetengah kes yang berjaya diselamatkan, namun ada juga tragedi yang berakhir dengan kematian, seperti yang dilaporkan pihak Maritim Rescue Coordination Centre (MRCC).

Atas sebab itu, APMM menyeru mana-mana pihak yang ingin ke laut untuk menggunakan PLB tersebut.

Seperti yang dinyatakan, PLB yang sesuai digunakan oleh komuniti laut di negara ini adalah yang daripada dua jenis berikut.

Cara PLB berfungsi.

Pertama, PLB yang mempunyai frekuensi 406 MHz, iaitu yang mudah dikesan satelit dan manakala yang kedua, PLB berfrekuensi 121.5 MHz, iaitu mudah dikesan bot serta pesawat.

Kod pendaftaran untuk Malaysia adalah 533 dan peranti PLB tersebut perlu didaftarkan di www.bim.mmea.gov.my.

Antara jenama yang disyorkan adalah keluaran 𝗥𝗲𝘀𝗤𝗟𝗶𝗻𝗸™ 𝟰𝟬𝟬 atau 𝗼𝗰𝗲𝗮𝗻 𝗦𝗜𝗚𝗡𝗔𝗟 𝗿𝗲𝘀𝗰𝘂𝗲𝗠𝗘 𝗣𝗟𝗕 𝟭.

Harga di pasaran beranggaran sekitar RM1,500 dan boleh dicari di laman enjin carian Google.

Bagaimana PLB berfungsi

APMM juga turut menunjukkan kaedah bagaimana alatan itu berfungsi dan digunakan melalui video di bawah ini:

Selain itu, APMM menerusi kenyataan tersebut turut menasihatkan, bagi mereka (nelayan, kaki pancing dan sebagainya) yang ingin ke laut, pastikan bot dan enjin berada dalam keadaan yang baik.

Pastikan juga tiada sebarang kerosakan atau keretakan di seluruh badan bot tersebut.

Peralatan kecemasan seperti pelampung dan jaket keselamatan juga mesti berada dalam keadaan elok.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.