Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Dipercayai ‘Dibaham’ Ketika Memancing, Penduduk Kampung Belah Perut Buaya Keluarkan Anggota Badan Wanita

Anggota badan seorang wanita dilaporkan ditemui di dalam perut seekor buaya di Indonesia yang dipercayai telah membahamnya.

Haiwan tersebut dipercayai telah menyerang wanita yang berusia 45 tahun itu ketika mangsa sedang memancing di sebuah sungai di Kalimantan Utara, Indonesia, malam Jumaat lalu, lapor Daily Mail.

Menurut Daily Mail, ketika kejadian, rakan-rakan mangsa telah terdengar jeritan mangsa dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa semasa buaya tersebut membaham mangsa dan menariknya masuk ke dasar sungai berkenaan.

Tambah laporan itu, buaya yang berukuran sepanjang 19 kaki itu berjaya ditangkap pada keesokan harinya selepas penduduk setempat berpakat untuk memburu buaya tersebut.

Sebuah rakaman yang mengerikan itu memaparkan penduduk tempatan membelah perut buaya lalu mengeluarkan anggota badan wanita tersebut.

Kepala mangsa serta bahagian badannya yang lain telah ditemui di kawasan berdekatan, dipercayai telah dibuang oleh buaya terbabit.

Amiruddin, ketua agensi penyelamat Tarakan Nasional menyatakan: “Polis terlebih dahulu telah bertindak menembak buaya tersebut. Selepas dari itu, perut buaya berkenaan telah dibelah, dan bahagian-bahagian daripada badan mangsa berjaya dijumpai.”

Menurut saksi, mangsa telah diserang oleh seekor buaya besar ketika dia sedang mencampakkan makanan ke dalam air di Pulau Tibi di daerah Bulungan.

Berikutan dengan itu, satu operasi pencarian telah dilakukan oleh penduduk setempat dan polis setelah menerima laporan berkenaan kejadian terbabit.

Selepas beberapa jam melakukan pencarian, pasukan Badan Mencari dan Menyelamat (SAR) telah menemui beberapa bahagian badan mangsa serta kepalanya.

Mereka meneruskan operasi pencarian sehingga akhirnya mereka menemui buaya tersebut yang sedang mengintai di sekitar tebing sungai.

Tubuh dan anggota badan mangsa yang terputus kemudiannya dibawa ke Tarakan untuk diserahkan kepada keluarganya.

Ketua penyelamat Amiruddin menambah: “Kami telah mengingatkan penduduk supaya menjauhkan diri dari sungai kerana mungkin ada lebih banyak lagi buaya di daerah itu.

“Ramai orang yang mencari rezeki di sungai itu, jadi sangat sukar untuk mereka mengelakkan kejadian sebegini, namun mereka perlulah sentiasa berhati-hati”, ujarnya.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa