Siakap Keli
beijing COVID-19
Kredit: Google

Ada 32 Kes Baru COVID-19, China Dilapor Kuatkuasa Semula Perintah Berkurung Di Beijing

Beijing sekali lagi mengenakan perintah berkurung di beberapa kawasan berikutan penemuan 32 kes baru COVID-19 Isnin lalu. Sebanyak 27 kes daripada jumlah tersebut dilaporkan berlaku di Beijing, tiga di Hebei dan satu di Sichuan.

Laporan awal mengesyaki jangkitan berpunca daripada pasar borong Xinfadi yang menjadi punca penularan ke atas 106 orang setakat semalam. Di samping itu, seramai 10 pesakit disahkan positif belum menunjukkan sebarang simptom.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung Kerajaan Perbandaran Beijing, Chen Bei, kesemua kejiranan di daerah terlibat yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan sederhana akan ditutup serta merta. Semua penduduk diarahkan agar duduk di rumah dan perlu menjalani ujian asid nukleik untuk mengenalpasti status jangkitan. Tiada pelawat dibenarkan masuk.

Sementara itu, semua sekolah rendah dan menengah pula bertukar kepada pembelajaran atas talian manakala semua universiti ditutup. Walabagaimanapun, perniagaan masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu pejabat. Orang ramai juga digalakkan bekerja dari rumah bagi mengurangkan risiko penularan.

Ketua Pakar Epidemiologi Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou berkata, Beijing telah berjaya mengesan penularan itu pada awal penularan. Katanya, jumlah kes pada hari Khamis penting dalam mengenalpasti tahap perkembangan wabak itu.

“Tindakan Beijing tepat pada masanya dan berkesan. Sesiapa yang dijangkiti mungkin akan menunjukkan simptom dalam tempoh dua hari akan datang. Jika jumlah kes dilaporkan tidak banyak meningkat, dapat disimpulkan wabak telah stabil pada skala ini,” katanya pada Isnin malam.

Langkah Kerajaan China mengenakan perintah berkurung d ibeberapa kawasan di Beijing yang merekodkan kes COVID-19 adalah untuk menyekat jangkitan daripada terus merebak. Perintah berkurung (Lockdown) ini adalah langkah paling berkesan mengawal wabak seperti yang telah dilakukan di Wuhan dan di beberapa negara lain seperti New Zealand, Thailand, Vietnam dan Malaysia (PKP).

Tiada bukti salmon punca penularan

Laporan awal mengesyaki koronavirus tersebar daripada ikan salmon setelah ada dakwaan papan pemotong digunakan untuk memotong ikan tersebut tercemar dengan virus itu. Namun, hal ini dinafikan Wu.

“Apa yang kita tahu, sumber berpunca dari Beijing dan ada dua kemungkinan,” kata Wu.

Katanya, satu kemungkinan mungkin berpunca daripada individu positif COVID-19 yang mengendalikan makanan laut atau daging beku lalu menjangkiti orang lain yang bersentuhan dengan makanan tersebut. Kemungkinan yang lain adalah jangkitan berpunca daripada individu positif COVID-19 yang bersin atau batuk di kawasan itu.

“Kami masih mengumpul sampel dari pasar tersebut dan penemuan virus di atas papan pemotong tak banyak membantu. Tiada bukti secara langsung mengatakan salmon punca penularan ini,” katanya lagi.

Ujian ke atas penjual ikan salmon dan persekitaran pasar borong makanan laut Jingshen yang menjadi pembekal salmon kepada pasar borong Xinfadi didapati negatif virus itu.

Tambah Wu, virus yang ditemui di pasar borong Xinfadi didapati memiliki strain yang serupa dengan virus COVID-19 yang menyerang Eropah. Pun begitu, ia tidak bermakna virus tersebut diimport secara terus dari sana.

“Kami memerlukan lebih banyak maklumat untuk penilaian,” ujarnya.

Sumber: South China Morning Post

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.