Siakap Keli
Kredit: Google

Kronologi Pergelutan Maut Anggota Polis Dengan Rayshard Brooks, Akhirnya Mati Ditembak

Seorang lelaki berkulit hitam maut ditembak polis dalam satu adegan kejar mengejar di Atlanta, Amerika Syarikat.

Rayshard Brooks, 27 ditembak dua kali dari belakang oleh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri dalam satu kejadian di sebuah restoran makanan segera di sini.

Pada 12 Jun lalu, dua anggota polis telah menemui Rayshard sedang terlelap di dalam kereta di laluan pandu lalu restoran berkenaan selepas menerima panggilan staf di sana.

Berdasarkan rakaman kamera pada badan polis, kedua-dua anggota, Devin Brosnan dan Garrett Rolfe mengejutkan Rayshard yang dipercayai mabuk sebanyak dua kali, mengarahkannya agar beredar dari laluan berkenaan.

Mereka kemudiannya sempat menyoal siasat Rayshard yang dipercayai telah memandu bawah pengaruh alkohol.

Rayshard memberi kerjasama yang baik termasuk menjalani ujian alkohol sehinggalah salah seorang daripada anggota polis mengambil keputusan untuk menggarinya atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk.

Dia dikatakan cuba melawan dan melarikan diri, menyebabkan berlakunya pergelutan antara mereka.

Rayshard kemudiannya merampas senjata renjat (taser) salah seorang daripada polis sebelum melarikan diri.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, Rayshard sempat berpaling dan menembak taser ke arah salah seorang anggota polis yang mengejarnya.

Rolfe kemudiannya mengeluarkan senjata api dan didakwa menembak Rayshard sebanyak dua kali hingga menyebabkan kematian.

Hasil bedah siasat mendapati Rayshard maut akibat kecederaan tembakan pada belakang badannya.

Susulan kejadian itu, Rolfe digantung tugas dan kini menghadapi dakwaan membunuh dengan niat.

Kredit: Daily Mail
Kredit: Daily Mail

Pakar berbelah bahagi

Seorang syerif di Georgia, Alfonzo Williams menganggap tindakan Rolfe sebagai wajar dan mempunyai alasan yang kuat.

“Kita dapat lihat di dalam video, Rayshard bergelut dengan anggota polis. Dia mengambil senjata yang tidak membunuh, taser dari salah seorang anggota dan melarikan diri.

“Dia berpaling kepada anggota polis dan menembak taser berkenaan,” kata syerif berkulit hitam berkenaan.

Baginya, penggunaan taser adalah amat berbahaya kerana ia boleh melumpuhkan anggota selama beberapa saat, memungkinkan Rayshard mencuri senjata api pihak polis dan mencederakannya dengan serius.

“Jika seorang anggota ditembak taser, semua ototnya akan tersentak dan dia tidak mampu bergerak atau memberi respon. Ini merupakan tembakan yang bersebab,” katanya.

Dah dapat kereta dan lesen, tak patut tembak

Walaubagaimanapun, penganalisa undang-undang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak tepat.

“Anda tahu dia tidak mempunyai senjata api atau apa-apa senjata yang membunuh,” kata Charles Ramsey yang merupakan bekas pesuruhjaya polis Philadelphia.

Setelah Rayshard merampas taser salah seorang anggota dan menembaknya, amat mustahil untuknya menembak buat kali kedua, kata Charles.

“Sekali anda tembak taser, ia perlu dikitar semula sebelum boleh diguna lagi,” katanya.

Tambah Charles, daripada menembak Rayshard, Rolfe sepatutnya mengejar dan memanggil pasukan sokongan. Dia tahu kereta Brooke masih berada di ruangan parkir restoran tersebut, ujarnya.

“Anda dah dapat kereta. Dah minta lesen pemandu. Anda dah tahu siapa dia. Jadi walaupun anda tak dapat menangkapnya sekarang, anda boleh menangkapnya nanti,” kata Charles.

Sumber: Daily Mail, CNN

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.