Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lakukan Aksi ‘Whillie’, Penghantar Barang Dipenjara Dua Hari, Denda RM5,500

Kuala Lumpur: Akibat menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat roda hadapan motosikalnya, seorang penghantar barang dijatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM5,500, oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Faris Mohamed, 20, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan Muhammad Faris menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya dia gagal membayar denda serta hilang kelayakan memohon lesen memandu selama dua tahun, dari tarikh jatuh hukum (hari ini).

Tertuduh didakwa telah menunggang motosikal dengan aksi itu yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain, di Jalan Raja Laut di sini pada 3.25 pagi, 22 April tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen menunggang tidak kurang dua tahun dan lesen menunggang percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali, memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, kerana dia menanggung keluarga.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.