Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

SKMM Rancang Bina Menara Telekomunikasi Baharu Di Pitas

KUALA LUMPUR, 17 Jun  — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merancang untuk membina sebuah menara telekomunikasi baharu di Kampung Bilangau Kecil, yang terletak berhampiran dengan Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan menara telekomunikasi itu akan dibina di bawah Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, yang dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2021.

“…ia boleh dioptimum untuk meningkatkan liputan di Kampung Sapatalang sejurus siap didirikan. Bagi memberi liputan yang lebih berkualiti di sekitar kawasan itu, SKMM juga telah membuat perancangan untuk menaik taraf liputan kepada 4G di bawah program Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP), sejak awal tahun ini,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video mengenai seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, yang memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah, demi mendapatkan capaian Internet bagi menduduki peperiksaan secara dalam talian.

“Berdasarkan laporan yang diperolehi, terdapat sebuah menara telekomunikasi yang memberi liputan 3G dalam lingkungan 1.4 kilometer (km), dari kampung pelajar berkenaan.

“Liputan 3G itu, membolehkan pelajar mengambil peperiksaan secara dalam talian, manakala bagi tujuan aktiviti penstriman pula, ia memerlukan liputan yang lebih tinggi,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, MCMC sentiasa prihatin dengan keluhan masyarakat berkaitan kemudahan telekomunikasi, terutamanya di kawasan luar bandar dan melakukan usaha berterusan untuk merapatkan jurang digital di seluruh negara.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story