Siakap Keli

Teknik Tanam Sayuran Supaya Tak Diganggu Makhluk Perosak, Mudah & Selamat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Anda suka bertani dan bercucuk tanam? Artikel ini sangat sesuai dibaca untuk anda.

Selama ini yang kita faham, apabila mahu membuat satu kawasan kebun untuk tanaman sayuran, pasti kita akan membersihkan tanah itu daripada segala semak samun.

Kemudian, setelah selesai, maka kita akan mula menyemai anak benih, menanam tunas dan sebagainya sehinggalah sampai satu masa, tumbuhan itu membesar dengan subur.

Contoh tanaman sayuran jenis monokultur (satu jenis sahaja). Gambar sekadar hiasan.

Namun, perasan atau tidak, di sebalik ‘kecantikan’ kebun yang dipenuhi satu jenis tanaman itu sahaja (monokultur), pasti akan ada kemunculan serangga perosak yang menjarah daun-daun tanaman tersebut.

Tahukah anda, sebenarnya tanaman kita akan lebih selamat daripada serangan serangga perosak jika ia ditanam di kawasan semak-samun yang bercampur dengan tumbuhan lain?

Menurut perkongsian di SIDQI Little Farm, tanaman di kawasan semak-samun adalah selamat kerana ia mempunyai biodiversiti yang lebih tinggi.

Mari baca penjelasan di bawah ini.

Kawasan semak samun ditanam petola pulut. Gambar: Facebook

Biodiversiti sebagai pengawal daripada perosak (pest).

Kami menanam timun & petola pulut di dua kawasan berbeza.

Satu kawasan semak samun (tinggi biodiversity/polyculture) & satu lagi di kawasan lapang, bersih dari rumpai (weeds).

Hasilnya seperti gambar-gambar di bawah.

Ternyata eksperimen tanpa sengaja ini menunjukkan hasil.

Petola pulut di kawasan semak samun, sihat tanpa pest. Gambar: Facebook
Timun ditanam di kawasan semak-samun sihat tanpa pest. Gambar: Facebook

Timun & petola pulut yang ditanam di kawasan semak-samun Alhamdulillah sihat tanpa sebarang perosak (pest).

Manakala timun & petola pulut yang ditanam di kawasan terkawal & bersih dari rumpai & semak samun, kedua-duanya diserang pest dengan teruk.

Petola pulut ditanam di kawasan bebas weeds. Ditanam di planter box. Gambar: Facebook
Petola pulut di planter box teruk diserang pest. Gambar: Facebook
Timun teruk diserang pest di kawasan tanpa semak samun. Gambar: Facebook

Berdasarkan pemerhatian kami, semak-samun atau biodiversiti telah memberi perlindungan kepada pokok-pokok tersebut hingga mengelirukan pest & dalam masa yang sama menguatkan pokok-pokok tersebut dengan bekalan nutrien yang dihasilkan oleh rumpai tadi.

Ya, setiap tumbuhan mempunyai fungsi tertentu dalam menarik nutrien dari dalam tanah serta menghasilkan nutrien bagi kegunaan pokok-pokok lain di sekelilingnya (keterangan lanjut mengenai bab ini akan kami kongsi di masa lain).

Oleh kerana itu, kita digalakkan untuk menanam tanaman kita secara polyculture (pelbagai jenis) bagi meningkatkan biodiversiti taman/kebun/ladang kita.

Apabila tanaman ditanam secara monoculture (satu jenis sahaja), tanaman kita akan mudah diserang pest & akan menyebabkan kita menggunakan racun secara berleluasa.

Ini kerana pest sangat spesifik dalam menyerang perumahnya.

Timun di kawasan tanpa weeds. Gambar: Facebook

Jika kita menanam hanya 1 jenis tanaman sahaja, maka mudahlah pest itu menyerang seolah-olah hidangan makanan percuma di depannya.

Pandangan kami, jika boleh, hanya bersihkan rumpai di kawasan yang ingin ditanam sahaja & biarkan kawasan yang tak digunakan ditumbuhi rumpai untuk mengurangkan risiko diserang pest.

Ataupun, sila tanam pelbagai jenis tanaman dalam satu kawasan supaya menyukarkan kerja-kerja pest untuk menyerang kerana perlu memilih perumah yang sesuai.

Nota: kedua-dua kawasan tanaman adalah di dalam kebun yang sama & beza hanya 10-20 meter sahaja antara satu sama lain.

Kawasan ditanam timun. Gambar: Facebook

Difahamkan, walaupun kelihatan sihat ditanam di kawasan berumpai, namun tanaman ini juga tidak bergantung pada penggunaan baja kimia.

“Di kebun kami biasanya kami menggunakan baja kompos atau baja tahi ayam (baja organik).

“Baja kompos, ada yang kami buat sendiri, ada yang kami beli,” kata pengusaha kebun, Nurul Shida Saari ketika dihubungi Siakap Keli, hari ini.

Perosak keliru & rumpai/semak pelindung semulajadi

Selain itu, kebaikan rumpai di sekitar tanaman tersebut adalah ia berupaya mengelirukan serangga perosak yang hadir ke situ untuk mencari makanan.

“Dalam sesetengah kes, ya. Contohnya, belalang.

“Belalang akan attack weeds di sekitar tanaman kita tu. Jika pests lain, weeds tu lebih kepada memberi penyamaran,” tambahnya.

Bersih dari weeds tapi teruk diserang pest. Gambar: Facebook

Dalam pada itu, faktor jenis rumpai juga memainkan peranan penting dalam melindungi tanaman tersebut.

Bukan semuanya selamat ‘digunakan’ dan bukan semuanya juga perlu dibersihkan.

“Untuk semak samun tu, biasanya yang mana tumbuh secara semulajadi, adalah selamat untuk tanaman, kecuali sehingga kita nampak ianya merosakkan tanaman.

“Jadi solusinya, kawal weeds tapi tak perlu hapus terus.

“Ada juga tanaman tertentu yang boleh jadi natural pest repellent. Jadi kita boleh tanam tumbuhan-tumbuhan ni bersama-sama tanaman kita. Contohnya family basil (mint, selasih, kemangi etc) & marigold.

“Oleh itu, jika kita hapuskan terus weeds di kawasan tanaman kita, kita boleh gantikan biodiversity tu melalui pelbagaikan tanaman kita dalam satu kawasan,” tambahnya lagi yang turut mengusahakan kebun tersebut bersama suaminya, Hazwan Jalani.

Sumber: SIDQI Little Farm

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'