Siakap Keli
Gambar: Bernama

Wanita Rohingya Ditemukan Maut Ditikam Di Pasir Puteh

PASIR PUTEH, 17 Jun (Bernama) — Seorang wanita berbangsa Rohingya ditemukan maut dengan tiga kesan luka di badan dipercayai akibat ditikam suaminya dalam satu kejadian di Kampung Gong Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Azmir Damiri berkata dalam kejadian pada kira-kira 9 pagi itu, mangsa, Nor Begun Dil Mohammad, 28, maut di tempat kejadian selepas luka parah akibat tikaman.

“Hasil siasatan di tempat kejadian menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini hari ini.

Mohd Azmir berkata suspek yang berusia 32 tahun ditahan di Kota Bharu pada 3 petang tadi dan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau tidak menolak bahawa kes itu bermotifkan cemburu kerana pasangan tersebut dikatakan sering bergaduh namun pihaknya akan melakukan siasatan terperinci.

Sementara itu, jiran mangsa, Mohd Syeed Azmi Moktul Hossain, 42, berkata beliau yang sedang bekerja sebagai tukang rumah di Bukit Keluang, Terengganu bergegas pulang ke rumah selepas dihubungi isterinya, Maimunah Chik, 47, yang menemukan mayat mangsa di tempat kejadian.

“Suspek bekerja dengan saya sebagai tukang rumah dan sebaik sampai ke rumah, saya melihat mangsa sudah terbaring di hadapan rumah saya,” katanya.

Mangsa, yang mempunyai dua anak lelaki masing-masing berumur 3 dan 4 tahun, dikenalinya sebagai seorang isteri yang  baik hati dan berpindah ke tempat itu sejak dua bulan lepas.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right