Siakap Keli

Diego, Kura-Kura Jantan Induk Berusia 100 Tahun Kini ‘Bersara’ Selepas Biakkan 800 Ekor ‘Keturunan’

Seekor kura-kura jantan induk berusia 100 tahun yang telah membiakkan lebih 800 anak kura-kura di Ecuador dilaporkan sudah ‘bersara’ dari ‘tugasnya’.

Kura-kura tersebut, Diego yang merupakan spesis gergasi Galapagos dijadikan sebagai baka pembiak di Taman Negara Galapagos setelah dipindahkan dari Pulau Santa Cruz sekitar tahun 1960 dahulu.

Menteri alam sekitar, Paulo Proano Andrade berkata, Diego kini dibebaskan semula ke habitat asalnya di Pulau Espanola selepas ‘berjasa’ membiakkan spesisnya selama enam dekad.

Hero induk pembiak, Diego. Gambar: agensi

“Kami sedang berada di peringkat penting dalam pengurusan Taman Negara Galapagos.

“25 ekor kura-kura Espanola termasuk Diego sedang kembali ke rumah asal mereka setelah beberapa dekad berkembang biak dan menyelamatkan spesis mereka daripada kepupusan,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter, memetik laporan Metro.

Sementara itu, menteri berkenaan turut berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan petugas taman negara tersebut mengangkat Diego dan kura-kura lain dengan memikulnya di belakang badan untuk dihantar semula ke pulau asal mereka setelah 60 tahun ‘berhijrah’.

Bagaimanapun, kesemua kura-kura itu telah dikuarantin terlebih dahulu kerana tidak mahu sisa cernaan mereka daripada tumbuhan yang dimakan di Santa Cruz dibawa ke Espanola berikutan ia bukan tumbuhan asal di pulau itu.

Diego dan rakan-rakan lain dipindahkan dengan cara dipikul di belakang badan oleh pegawai taman negara. Gambar: agensi
Diego sewaktu dipindahkan ke atas bot sebelum dihantar semula ke pulau Espanola. Gambar: agensi

Diego aktif seks

Pakar Pembiakan Kura-Kura Taman Negara Galapagos, Washington Tapia berkata,

“Dia (Diego) adala seekor jantan pembiak yang sangat aktif seks dan mengawan.

“Dia telah memberikan sumbangan yang besar untuk meningkatkan semula populasi kura-kura di pulau ini,” katanya.

Antara tugas hakiki Diego; mengawan dan membiak. Gambar: tangkap layar Independent

Diego yang mempunyai berat kira-kira 175 pound dan 90 sentimeter panjang dianggap sebagai juara induk baka pembiak.

Hasil daripada program pembiakan itu, sebanyak kira-kira 2,000 kura-kura gergasi telah berjaya dibiakkan dan 40 peratus daripadanya adalah daripada baka Diego.

Sumber: Metro UK, Independent, Daily Mail

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.