Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ibadah Korban Dibenarkan Di Negeri Sembilan – Exco

JELEBU, 18 Jun (Bernama) — Pelaksanaan ibadah korban di negeri ini dibenarkan, namun ia masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Bakri Sawir.

Beliau berkata ia selaras dengan keputusan kerajaan pusat yang membenarkan pelaksanaan ibadah korban dan keputusan itu juga telah dicapai kerajaan negeri dalam mesyuarat exco, yang berlangsung semalam.

“Kita membenarkan ibadah korban tetapi sesiapa yang membuat ibadah itu kena betul-betul menjaga SOP, sebab kita tidak mahu nanti ada kluster korban di negeri ini.

“Kita membenarkan (ia dilaksanakan) di masjid, surau serta tempat-tempat yang difikirkan sesuai oleh pengusaha, tetapi perlu ikut SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan secara spesifik kita akan keluarkan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan Konsortium Kariah Masjid Malaysia Berhad (KONSORMAS) di Kampung Kuala Jerang, dekat sini, yang turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan akan berlaku kenaikan harga jualan lembu menjelang Hari Raya Aidiladha bulan hadapan, Bakri berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenainya dan akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar bagi memantau.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right