Siakap Keli
Macau Scam
Kredit: Google

Macau Scam: Pelajar 21 Tahun Kerugian Hampir RM100,000 Diperdaya Sindiket Mengaku Polis

SEREMBAN, 18 Jun (Bernama) — Seorang pelajar perempuan kerugian RM99,040 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata dalam kejadian pukul 1.00 tengah hari itu, mangsa yang berusia 21 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki menerusi nombor +87087410786 yang mendakwa dia adalah suspek kes pengubahan wang haram dari akaun bank JP Morgan Chase.

“Selepas itu, mangsa disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Pozlan dan kemudian disambung kepada seorang lagi lelaki bernama Muhammad Redza.

“Suspek telah meminta semua maklumat berkenaan akaun bank mangsa dengan alasan untuk memeriksa kes itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa juga telah memberikan semua maklumat dan kesemua 23 nombor TAC bank di nombor 011-39321339.

“Apabila mangsa membuat semakan, mendapati wang dalam akaunnya telah dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali,” katanya.

Aibee berkata, siasatan ke atas nombor telefon +87087410786 yang digunakan suspek mendapati terdapat dua kes lain yang direkodkan yang membabitkan kerugian RM6,750 manakala satu lagi nombor telefon, merekodkan lima kes penipuan membabitkan kerugian RM30,459.

Sementara itu, bagi tempoh 1 Jan sehingga 16 Jun lepas, terdapat 127 kes Macau Scam direkodkan di negeri ini membabitkan kerugian RM3.7 juta dengan tangkapan 60 individu.

“Manakala bagi tempoh sama tahun lepas, 72 kes direkodkan dengan jumlah kerugian keseluruhan berjumlah RM1.6 juta dengan tangkapan 35 orang,” katanya dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan apa-apa panggilan yang meminta butiran akaun bank.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.