Siakap Keli

Peniaga Didakwa Tipu Wanita Iraq Jual Beli Penutup Hidung Dan Mulut Berjumlah RM300,000

KUALA LUMPUR, 18 Jun  — Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan menipu seorang wanita warga Iraq, berhubung jual beli pelitup muka berjumlah RM300,000.

Lee Wai Kuen, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, dia didakwa telah menipu Asal Ameen Taha dengan cara memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang RM300,000 bagi pembelian pelitup muka.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lobi The Pearl Condominium di sini dan Unit A-18-01 Bintang Goldhill, Jalan Tun Razak di sini, antara 2.53 petang dan 11.51 malam pada 14 Mac lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi menawarkan jaminan berjumlah RM400,000 untuk semua  pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam K.A. Ramu yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha