Siakap Keli

Remaja Lelaki Lemas Ketika Mandi Di Air Terjun Belukar Bukit

HULU TERENGGANU, 18 Jun — Kegembiraan 19 sekeluarga berkelah di Pusat Perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas, tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata mayat Muhammad Affizie Irffanshah Mazita, 14, yang berasal dari Batu Rakit, Kuala Nerus ditemukan oleh orang awam dan diambil oleh pihak bomba pada pukul 12.15 tengah hari ini.

“Pada pukul 10.45 pagi mangsa telah berenang bersendirian di dalam sungai. Kira-kira 15 minit selepas itu, bapa saudara mangsa melihat remaja itu mengangkat tangan dan terus tenggelam.

“Lelaki berusia 47 tahun itu cuba membantu mangsa namun gagal. Ahli keluarga yang lain turut meminta pertolongan daripada orang kampung di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.48 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.12 tengah hari, bersama satu jentera EMRS dan 10 anggota.

“Mangsa ditemui tenggelam oleh orang awam di sungai itu. Air sungai yang berkedalaman lima meter itu jernih jadi memudahkan orang awam menjumpai mangsa dan meminta pihak bomba mengambil mangsa.

“Setelah diambil dan dibawa ke tebing sungai, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha