Siakap Keli
Gambar: Bernama

Caj Tambahan Gunting, Dandan Rambut Hanya Untuk Apron Dan Sarung Tangan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya membenarkan penyedia perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandan rambut, dan salun kecantikan, untuk mengenakan caj tambahan kepada pelanggan bagi apron pakai buang dan sarung tangan sahaja.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, caj tambahan itu bukanlah dalam jumlah yang besar, kerana bagi apron atau alas gunting rambut pakai buang kosnya kira-kira RM0.80 sehingga RM1 sehelai.

“Pengusaha dinasihati supaya tidak menaikkan harga caj perkhidmatan sesuka hati dan jika ingkar, tidakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Tesco Fresh Distribution Centre di Kawasan Perindustrian Gopeng 2, di sini, hari ini.

Selain itu Nanta berkata, pihak kementerian  telah mengeluarkan sebanyak 741 notis kepada penyedia perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandan rambut, dan salun kecantikan, di seluruh negara sejak 10 Jun sehingga semalam, menerusi Ops Catut 7.0.

Katanya notis itu dikeluarkan, kerana didapati penyedia perkhidmatan dandanan dan gunting rambut, menaikkan kadar caj bagi perkhidmatan yang disediakan.

Sementara itu Nanta berkata, Ops Durian yang dijalankan sejak 15 Jun, telah merekodkan empat kes dengan tiga daripadanya melibatkan Akta Kawalan Harga serta Anti Pencatutan 2011, dan satu kes bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, dengan nilai kompaun keseluruhan dikeluarkan RM4000.

“Kerajaan tidak menetapkan harga jualan bagi buah durian. Namun, penguatkuasaan dijalankan ke atas gerai jualan durian di seluruh negara, bagi memastikan pematuhan peniaga supaya mereka meletakkan tanda harga dengan jelas, bagi membolehkan pembeli membuat pilihan.

“Selain itu, peniaga perlu menggunakan alat timbang dan sukat yang tepat dan ditentusahkan, jangan tipu menimbang harga berat durian yang mahu dijual, kerana jika didapati bersalah, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA